Malaysia belasah Brunei 7-1

Sukan

JAKARTA: Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan besar apabila membelasah BruneiĀ  7-1 dalam aksi kedua Kumpulan A Piala AFF B-23 2025 yang berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno (GBK), sebentar tadi.

Lebih manis, kejayaan itu turut menjadi tonik terbaik buat Harimau Malaya muda sebelum berdepan cabaran getir menentang tuan rumah, Indonesia dalam aksi terakhir kumpulan pada Isnin ini.

Malaysia yang turun dengan misi wajib menang hanya memerlukan tiga minit untuk membuka tirai jaringan menerusi tandukan Danish Syamer hasil hantaran lintang Aiman Yusuf.

Selang seminit kemudian, tekanan bertali arus skuad kendalian Nafuzi Zain terus membuahkan hasil apabila pertahanan Brunei, Mohammad Nazry Aiman Azman tertampan bola ke gawang sendiri untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Malaysia terus menguasai permainan dengan gerakan kemas dari tengah padang, sebelum Haykal Danish mencetak nama sebagai penjaring ketiga menerusi penyudah mudah hasil lorongan Haqimi Azim Rosli pada minit ke-32.

Belum sempat Brunei memperkemaskan permainan, giliran Haqimi pula mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-42 apabila melepaskan rembatan deras ke penjuru kanan gawang untuk meletakkan Malaysia selesa mendahului 4-0 sehingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, anak-anak buah Nafuzi tidak mengendurkan asakan sebaliknya Danish Hakimi menambah jaringan kelima Harimau Malaya muda menerusi sepakan kaki kiri dari dalam kotak penalti pada minit ke-69.

Brunei cuba bangkit dan berjaya meraih gol saguhati menerusi Haziq Naqiuddin yang menyempurnakan peluang di minit ke-74, namun kealpaan mereka dihukum pantas dua minit kemudian apabila Fergus Tierney meledak gol keenam dari sudut sempit.

Sebelum perlawanan melabuhkan tirai, Haqimi sekali lagi mencuri tumpuan apabila menyempurnakan peluang hasil kesilapan barisan pertahanan Brunei untuk melengkapkan kemenangan 7-1 Malaysia pada minit ke-89.

Dengan keputusan ini, Malaysia kini berada dalam kedudukan terbaik untuk merebut satu slot ke separuh akhir apabila bakal melayani cabaran getir menentang seteru tradisi, Indonesia pada aksi terakhir kumpulan yang dijadual berlangsung di GBK, Isnin ini.-UTUSAN