TATKALA pelbagai dasar fiskal dan inisiatif pemulihan ekonomi yang giat dilaksanakan, satu isu struktur yang terus membelenggu ekonomi domestik Malaysia adalah nilai harta pusaka beku yang kian meningkat.
Situasi ini bukan sahaja menggambarkan kelemahan dalam perancangan harta, sekali gus membawa kepada kekayaan terhenti daripada beredar dalam pasaran, pelaburan keluarga terbantut dan jurang ekonomi antara generasi terus melebar.
Peguam syarie, Nurul Ai Li Baharuddin berkata, dianggarkan terdapat lebih RM90 bilion nilai harta pusaka tidak dituntut atau ‘beku’ di Malaysia, yang merangkumi pelbagai bentuk harta seperti tanah, wang simpanan, saham dan rumah.
Katanya, dalam kalangan masyarakat Islam, pembekuan ini berpunca daripada beberapa faktor utama, termasuk keengganan waris memulakan proses tuntutan, pertikaian dalam kalangan ahli keluarga, ketiadaan dokumen penting seperti surat kematian atau hak milik serta kekeliruan terhadap prosedur perundangan.
“Kelewatan pembahagian harta pusaka memberi kesan langsung kepada kesejahteraan ekonomi keluarga Islam. Waris tidak dapat memanfaatkan aset seperti tanah atau rumah untuk didiami, dijual atau digadai bagi tujuan pendidikan, pelaburan atau modal perniagaan.
“Dalam kes keluarga berpendapatan rendah, harta seperti rumah tinggal arwah yang tidak dituntut menyebabkan waris terus hidup dalam keadaan tidak menentu, malah kadang kala terpaksa berpindah atau menyewa di tempat lain walaupun memiliki hak terhadap harta tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Beliau berkata, kurangnya kesedaran tentang pentingnya perancangan harta semasa hidup melalui instrumen seperti wasiat atau hibah menyumbang kepada peningkatan jumlah harta tidak dituntut, terutamanya apabila si mati meninggal dunia tanpa sebarang dokumentasi pewarisan.
“Berdasarkan laporan daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, lebih kurang 70,000 kes berkaitan harta pusaka Islam dilaporkan tidak selesai di mahkamah syariah seluruh negara sejak sedekad lalu.
“Statistik ini merangkumi kes faraid, tuntutan pusaka kecil dan tuntutan pembahagian melalui wasiat atau hibah yang tertangguh kerana pelbagai sebab, termasuk kekurangan pegawai mahkamah, beban kes yang tinggi dan kegagalan pihak waris hadir ke mahkamah untuk menyempurnakan proses perbicaraan,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, antara halangan utama yang menyebabkan kelewatan atau kegagalan waris memfailkan tuntutan adalah kurang pengetahuan tentang proses perundangan, kos guaman yang tinggi dan sikap sambil lewa dalam kalangan waris terhadap tanggungjawab pentadbiran pusaka.
Jelasnya, ada sesetengah waris yang menjadi penama atas harta si mati menganggapkan bahawa harta tersebut adalah milikan penuh oleh penama tersebut.
“Sedangkan penama adalah orang yang diberi kuasa untuk menguruskan harta tersebut untuk dibahagikan kepada ahli waris mengikut faraid atau persetujuan bersama.
“Ketiadaan surat kuasa mentadbir atau sijil faraid juga sering menjadi penghalang kepada penyelesaian kes.
“Dalam sesetengah keadaan, konflik antara waris mengenai pembahagian harta mengakibatkan proses tertangguh atau terus tidak diteruskan,” jelasnya.
Tambahnya, bagi menangani isu pusaka beku, beberapa reformasi undang-undang dan pentadbiran perlu dilaksanakan termasuk memperkemas proses tuntutan melalui penggabungan bidang kuasa antara Pejabat Pusaka Kecil, mahkamah sivil dan mahkamah syariah supaya pemfailan dan penyelesaian kes lebih efisien.
“Peranan institusi seperti AmanahRaya Berhad boleh diperluas dengan menyediakan khidmat guaman kos rendah, taklimat awam serta pemantauan kepada waris tentang tarikh penting dalam proses pusaka.
“Mahkamah syariah perlu menambah bilangan pegawai dan mempercepatkan pendaftaran kes pusaka, selain memperkenalkan peraturan khas atau mahkamah khas untuk menangani kes tertangguh melebihi lima tahun,” katanya.
Beliau berkata, digitalisasi pengurusan harta pusaka Islam adalah antara cadangan strategik yang boleh membantu mengurangkan isu pusaka beku.
“Sistem bersepadu yang menghubungkan data kematian, status harta, senarai waris dan rekod pemilikan seperti e-Pusaka boleh membantu mempercepatkan tuntutan dan memudahkan pemantauan oleh agensi berkaitan.
“Tambahan pula, sistem ini boleh diakses oleh waris untuk mengemas kini maklumat serta membuat permohonan awal secara dalam talian tanpa perlu hadir ke pejabat kerajaan, selari dengan prinsip maslahah dalam Islam yang mementingkan kemudahan dan kemaslahatan umat,” jelasnya. – UTUSAN