PETALING JAYA: Perlawanan akhir serba tidak menjadi buat dua beregu Malaysia apabila Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dan Pearly Tan-M. Thinaah berkongsi kedukaan tewas kepada lawan masing-masing pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Tokyo, Jepun, semalam.
Kekalahan beregu lelaki No. 1 dunia, Sze Fei-Izzuddin lebih memeritkan kerana bukan sahaja gagal mempertahankan gelaran yang dimenangi, tahun lalu, tetapi, turut terpaksa menelan hakikat pahit ranking mereka juga dirampas wakil Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae bermula Selasa ini.
Sze Fei-Izzuddin terpaksa akur dengan kekalahan straight set 16-21, 17-21 kepada beregu No. 3 dunia itu dalam masa 38 minit.
Sebaik Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengemas kini ranking dunia, Selasa ini, Won Ho-Seung Jae akan dinobat sebagai gandingan No. 1 dunia dan sekali gus, menyingkirkan Sze Fei-Izzuddin yang hanya sempat bertahan selama lapan minggu di tangga teratas.
“Tiada apa yang perlu kami buktikan, hari ini, kami cuba berikan yang terbaik dan menikmati sebaik mungkin pertemuan ini,” kata Sze Fei ketika ditanya mengenai ranking No. 1 dunia dirampas Won Ho-Seung Jae.
Katanya lagi, beregu Korea Selatan itu terlalu bagus dan ia menjadi punca kepada kekalahan mereka yang gagal menyaingi rentak permainan pantas Won Ho-Seung Jae.
Bagaimanapun, Sze Fei-Izzuddin masih mempertahankan status mereka sebagai beregu lelaki No. 1 Malaysia apabila ranking mereka hanya jatuh satu anak tangga ke kedudukan No. 2 dunia.
Sementara itu, dalam saingan wanita, Pearly-Thinaah terlepas peluang untuk melakar sejarah buat Malaysia muncul juara di Terbuka Jepun yang belum pernah dilakukan oleh wakil negara dalam kategori tersebut sebelum ini.
Pasangan No. 3 dunia itu tewas kepada juara bertahan yang juga gandingan No. 1 dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China 15-21, 14-21 dalam masa 45 minit.
Pearly berkata, Sheng Shu-Tan Ning berjaya membaca strategi permainan mereka dan kegagalan bangkit tepat pada waktunya telah menyebabkan kekalahan tersebut.
Muncul selaku naib juara, Pearly-Thinaah sekadar mengulangi pencapaian yang pernah dilakar Chin Ee Hui-Wong Pei Tty pada 2008 iaitu kira-kira 17 tahun lalu.
Walaupun tewas, sekalung tahniah buat kedua-dua beregu No. 1 Malaysia itu yang beraksi konsisten mara ke final dan membawa pulang pingat perak serta wang tunai sebanyak AS$33,250 (RM141,179).
Selepas ini, fokus Sze Fei-Izzuddin dan Pearly-Thinaah beralih pula ke Terbuka China yang merupakan kejohanan berstatus Super 1,000 yang bermula, Selasa ini.- UTUSAN