PETALING JAYA: Detik 90 minit bakal menentukan sama ada skuad negara bawah (B-23) tahun negara terus mengaum di Indonesia atau pulang awal dari Piala ASEAN B-23 2025.
Perlawanan terakhir Kumpulan A menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno malam ini bukan sekadar aksi biasa, ia adalah perjuangan hidup mati buat skuad muda negara.
Malaysia perlu mencipta kemenangan dengan sekurang-kurangnya tiga jaringan tanpa balas untuk merebut satu tempat ke separuh akhir, dalam format kejohanan yang hanya memilih tiga juara kumpulan dan satu naib juara terbaik.
Pengendali skuad B-23, Nafuzi Zain, berkata, cabaran utama bukan hanya terletak pada kekuatan teknikal Indonesia yang sememangnya pasukan pilihan, tetapi juga pada tekanan luar padang daripada ribuan penyokong fanatik Garuda Muda yang dijangka memenuhi stadium berkapasiti 77,000 tempat duduk itu.
“Kami tahu perlawanan ini amat sukar, apatah lagi berdepan tuan rumah dengan sokongan penyokong yang luar biasa.
“Tapi perkara paling penting adalah pemain perlu kuat dari segi mental dan fizikal, serta bermain dengan penuh keyakinan.
“Saya mahu mereka fokus, serap tekanan dan tampilkan persembahan terbaik. Jangan gentar – ini saat untuk buktikan kemampuan,” katanya.
Ketika ini, Harimau Malaya B-23 berada di tangga ketiga kumpulan dengan tiga mata berkongsi mata dengan Filipina tetapi tewas secara ‘head to head’ kepada pasukan itu 0-2 dalam aksi pembukaan.
Indonesia pula gah di puncak dengan enam mata hasil dua kemenangan, meletakkan mereka sebagai pilihan utama untuk mara ke separuh akhir.
Sementara itu, penyerang negara, Haqimi Azim Rosli menyifatkan kemenangan bergaya 7-1 ke atas Brunei tempoh hari memberi suntikan moral yang besar kepada pasukan menjelang pertemuan getir ini.
“Kemenangan itu beri keyakinan dan semangat. Tapi kami tahu cabaran sebenar masih menanti. Lawan Indonesia bukan mudah, tapi kami akan beri 100 peratus dan patuhi setiap arahan jurulatih,” ujarnya.-UTUSAN
Habis
KAPSYEN: Skuad B-23 negara wajib menumpaskan Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan A Piala ASEAN B-23 2025 di Stadium Gelora Bung karno, malam ini.