Strategi mampan lindungi CIMB daripada kesan tarif global

Perniagaan

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd. menjelaskan ketidaktentuan dasar tarif global tidak memberi kesan langsung terhadap prestasi kewangannya bagi tahun kewangan berakhir 2026 (FY2026), berikutan pelaksanaan strategi kepelbagaian pendapatan dan kecekapan operasi yang mampan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Novan Amirudin berkata, meskipun tarif global berpotensi menjejaskan pertumbuhan ekonomi serantau, kesannya terhadap bank kekal terhad dan bergantung kepada bagaimana kos tambahan itu diagihkan dalam rantaian pasaran.

“Bergantung kepada sama ada kos itu ditanggung oleh pengeluar di ASEAN, pengguna di Amerika Syarikat (AS) atau diserap oleh kerajaan melalui insentif serta dasar sokongan,” katanya pada sesi fireside chat sempena Hari Media ASEAN anjuran CIMB, di sini hari ini.

Tambah beliau, jika sekatan terhadap eksport dari China ke Amerika Syarikat (AS) menyebabkan pengeluar berpindah ke ASEAN, lebihan bekalan berkemungkinan memberi tekanan kepada pengeluar tempatan.

“Keadaan ini boleh memperlahankan pertumbuhan serantau dan secara tidak langsung menjejaskan sektor kewangan memandangkan pertumbuhan pinjaman sangat berkait rapat dengan aktiviti ekonomi,” jelasnya.

Beliau berkata, CIMB tidak bergantung sepenuhnya kepada hasil daripada pendapatan faedah, sebaliknya turut memperkukuh sumbangan bukan faedah.

“Kira-kira 30 peratus daripada pendapatan kumpulan adalah daripada sumber bukan faedah termasuk yuran transaksi, pertukaran mata wang asing, penyelesaian pembayaran dan perkhidmatan nasihat.

“Inisiatif ini juga sejajar dengan strategi Forward 30 yang memberi penekanan terhadap kepelbagaian aliran hasil,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penurunan terbaharu Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM), beliau berkata, ia memberi kesan kepada kadar pinjaman yang ditawarkan kepada pelanggan, namun CIMB juga menyesuaikan kadar deposit seperti simpanan tetap (FD), yang kini berada pada paras lebih rendah.

“Penurunan OPR biasanya mengurangkan kos dana. Oleh itu, kesan bersih terhadap bank bergantung kepada sejauh mana kadar pinjaman dan kadar deposit diturunkan.

“Sekiranya kadar deposit dapat diturunkan lebih banyak, kami masih berupaya mengekalkan margin faedah bersih,” katanya. –UTUSAN