United sasar layak ke Liga Juara-Juara

Sukan

LONDON: Manchester United berjanji untuk tampil lebih mencabar dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan dengan sasaran menduduki tangga lima teratas.

Sasaran itu juga bagi membolehkan skuad kendalian Ruben Amorim kembali ke pentas Eropah dalam saingan Liga Juara-Juara pada musim depan.

Pemain sayap muda, Amad Diallo menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Amorim dan percaya mereka mampu bangkit semula ke pentas Eropah.

“Musim yang baik bagi kami adalah menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik. Saya harap kami dapat mencapai sasaran itu kerana penyokong berhak untuk melihat kami berjaya.

“Mereka perlu bersabar. Kami ada pengurus baharu, pemain baharu dan taktikal baharu. Kami sedar musim lalu tidak begitu baik untuk pasukan.

“Tetapi, musim ini kami yakin akan mencatat banyak kemenangan bersamanya (Amorim), dan saya harap musim ini kami akan capai banyak perkara positif,” katanya.

Penyerang Brentford, Bryan Mbeumo dijangka menyertai Matheus Cunha sebagai pemain baharu di Old Trafford dan Diallo menyeru penyokong bersabar dengan proses pembinaan semula pasukan.

Pemergian Marcus Rashford selepas 20 tahun bersama kelab dijangka mencetus gelombang keluar masuk pemain, dengan Antony dan Alejandro Garnacho turut berkemungkinan meninggalkan pasukan.

Ditanya mengenai perpindahan Rashford, Diallo berkata, dia hanya mahu fokus kepada pasukan dan mengucapkan selamat Berjaya kepada penyerang England itu.

“Saya hanya mahu ucapkan semoga berjaya kepadanya, tetapi fokus saya sekarang hanyalah United dan pasukan ini,” kata Diallo.

Mbeumo akan menyertai pasukan yang akan terbang ke Amerika Syarikat (AS) pada esok bagi menyertai Siri Musim Panas Liga Perdana Inggeris.

Pemain antarabangsa Cameroon itu dibeli dengan nilai perpindahan sebanyak 70 juta pound (RM425 juta) dari Brentford, dan Diallo tidak sabar untuk membentuk gandingan serangan bersama Mbeumo dan Cunha.- AGENSI