Kerajaan perlu peka suara dan kebangkitan rakyat – Takiyuddin

Politik

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) percaya Himpunan Turun Anwar hari ini akan memberi kesan kepada Kerajaan Madani yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, himpunan tersebut adalah kebangkitan rakyat daripada isu-isu yang berlaku ketika ini, sekali gus kerajaan perlu mengambil serius suara rakyat itu.

“Ini perhimpunan aman, peserta yang sah pasti tidak akan cetuskan apa-apa masalah. Malah perhimpunan aman ini masih relevan bukan sahaja di Malaysia, juga secara global.

“Jadi kerajaan perlu peka kebangkitan rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Pemimpin PN yang menerajui kempen dan mobilisasi Himpunan Turun Anwar menjangkakan kehadiran puluhan hingga ratusan ribu peserta yang dijangka berkumpul di empat lokasi utama iaitu Sogo, Masjid Jamek, Masjid Negara dan Pasar Seni, sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin meramalkan sehingga sejuta orang akan hadir himpunan itu.

Namun Polis Kuala Lumpur menjangkakan antara 10,000 hingga 15,000 peserta akan menyertai himpunan itu dan lebih 2,000 pegawai dan anggota dikerah untuk menjaga keselamatan serta membantu melancarkan perhimpunan.

Perdana Menteri sebelum ini mengarahkan polis agar memberikan kerjasama penuh bagi memastikan himpunan itu berlangsung dengan aman, lancar dan tanpa sebarang intimidasi.

Mengenai isu demonstrasi jalanan masih relevan atau sebaliknya dalam konteks Malaysia hari ini, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, ia bergantung kepada hak masing-masing dengan mengambil kira tujuan dan mesej yang ingin disampaikan menerusi himpunan tersebut.

“Contohnya hendak bantah kenaikan harga barang, hendak tunjuk bantahan apa berlaku di Gaza okay lah. Tetapi kalau hendak suruh Anwar turun, cara itu tidak kena. Ini kerana turun atau naik seseorang Perdana Menteri itu bukan ditentukan melalui himpunan, tetapi melalui pilihan raya atau siapa yang mempunyai majoriti di Parlimen,” katanya.

Jelasnya, desakan turun Anwar itu seharusnya disuarakan di Parlimen yang sedang bersidang ketika ini dengan membuat usul tidak percaya atau mengalahkan mana-mana usul kerajaan, sekali gus ia menandakan sokongan terhadap kerajaan itu telah hilang.

“Saya rasa setakat ini, tidak pernah lagi. Pakatan Harapan (PH) sebelum ini buat perhimpunan desak Datuk Seri Najib Razak dulu, yang kita desak adalah kita inginkan pilihan raya yang bersih, kita menentang rasuah, itu yang kita buat dulu,” ujarnya. – UTUSAN