Azeem belum cukup kuat galas dua acara

Sukan

PETALING JAYA: Raja pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mengakui tubuhnya belum bersedia memikul cabaran berganda selepas gagal ke final 200 meter (m) lelaki di Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025, di Jerman, semalam.

Pelari berusia 21 tahun itu menamatkan saingan separuh akhir saringan pertama di tempat ketujuh dengan catatan 21.51 saat (s), jauh lebih perlahan berbanding 21.26s dalam pusingan pertama, kelmarin.

“Saya masih berlari hari ini (semalam) untuk membuktikan saya layak berada di sini dan saya mahu bersaing, bukan hanya untuk sertai saja.

“Sejujurnya selepas larian hari ini (semalam) saya tahu keadaan badan saya belum bersedia untuk sertai dua acara dalam satu kejohanan,” kata Azeem.

Kenyataan itu sekali gus memberi isyarat jelas bahawa walaupun Azeem memiliki keupayaan dalam kedua-dua acara pecut, strategi beraksi dalam 100m dan 200m secara serentak masih belum serasi dengan tahap fizikalnya.

Ini merupakan kali pertama Azeem menyertai dua acara individu dalam satu kejohanan sejak zaman persekolahan, malah beliau hanya sempat tampil sekali dalam acara 200m musim ini sebelum ke Bochum.

Catatan terbaik peribadi Azeem dalam 200m ialah 20.79s yang dilakar di Florida, Amerika Syarikat (AS) hanya 0.02s di belakang rekod kebangsaan milik Russel Alexander Nasir Taib.

Rabu lalu, pelari kelahiran Teluk Intan, Perak itu terlepas podium dalam acara 100m dengan catatan 10.35s selepas tewas tipis kepada pemenang gangsa dari Jepun Hiroki Yanagita (10.23s).

Dalam masa sama, Azeem dilihat masih bermotivasi tinggi untuk membantu skuad 4x100m yang dibarisi oleh Aliff Iman Mohf Fahimi, Mohammad Hisham dan Pengiran Aidil Auf Hajam yang akan beraksi dalam pusingan pertama pada awal pagi Ahad ini.

Sementara itu, kuartet 4x400m campuran negara yang dibarisi oleh Umar Osman, Muhammad Aidil Azhar Azrul Hisyam, Nurul Aliah Maisarah Nor Azmi dan Chelsea Cassiopea Evali Bopulas gagal ke final selepas menamatkan saingan pusingan dua di tempat terakhir dengan catatan 3:31.72s.- UTUSAN