PETALING JAYA: Harapan skuad sepak takraw kuadran lelaki negara untuk mempertahankan gelaran ‘Raja Asia’ di Kejohanan Piala Raja Thai 2025 lebur selepas tewas kepada Jepun dalam aksi separuh akhir di Central Hatyai, Songkhla, semalam.
Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun mengakui kekuatan pertahanan lawan menjadi pemisah utama antara skuad negara dan Jepun, terutama dalam menyekat percubaan libasan pemain Malaysia.
“Secara peribadi, kita kena akui pasukan Jepun bermain jauh lebih baik terutamanya daripada segi pertahanan. Mereka berjaya membuat hadangan terhadap apit kanan kita ketika melakukan ranjaman, sekali gus mengganggu rentak libasan pasukan,” katanya.
Tambah beliau, pemain negara dilihat tertekan sehingga melakukan beberapa kesilapan mudah seperti pukulan keluar dan sangkut di jaring.
Ketiadaan pemain Apit kanan negara, Muhammad Afifuddin Mohd Razali turut menjadi antara faktor yang menjejaskan kekuatan kuadran lelaki negara dalam perlawanan tersebut.
“Kalau ikutkan peluang, pertemuan dengan Jepun tanpa Afifuddin memang 50-50. Kita tahu kekuatan Afifudin dan Noraizat Nordin mampu beri tekanan kepada lawan.
“Tapi ketiadaan Afifuddin memberi beban kepada Aizat dan Shahalril Aiman untuk galas tugas yang mencabar,” katanya.
Jais bagaimanapun menegaskan bahawa kekalahan ini bukan berpunca daripada jadual perlawanan yang padat, sebaliknya lebih kepada kelemahan taktikal dan kekurangan pilihan pemain dalam posisi tertentu.
“Pasukan-pasukan lain juga melalui jadual yang padat, jadi itu bukan alasan. Kita sudah nampak kelemahan yang ada dan perlu segera diperbaiki menjelang temasya Sukan SEA nanti,” katanya.
Malaysia sebelum ini menyandang gelaran juara acara kuadran lelaki pada Kejohanan Piala Asia 2025, namun kali ini terpaksa akur dengan prestasi lebih ampuh daripada pasukan Jepun yang semakin menunjukkan peningkatan di pentas Asia.-UTUSAN