PETALING JAYA: Laluan 16 kelab untuk memburu kejuaraan Piala FA 2025 bakal diketahui pada Isnin ini apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menganjurkan Majlis Undian membabitkan penyertaan kelab Liga Super dan Liga A1 Semi Pro.
Sebanyak 13 pasukan dari Liga Super akan disertai tiga kelab Liga A1 Semi Pro iaitu Bunga Raya FC, Malaysian University FT dan UM Damansara FC, sekali gus menambah warna saingan kejohanan berprestij itu musim ini.
Tiga kelab baharu Liga Super iaitu Melaka FC, Imigresen FC dan DPMM FC juga akan memanaskan lagi perebutan trofi Piala FA bersama pasukan gergasi seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC dan Sabah FC.
Secara keseluruhan, enam pasukan termasuk kelab Liga A1 Semi Pro dan tiga muka baharu akan diundi bersama 10 pasukan Liga Super lain yang layak secara automatik ke pusingan 16 berdasarkan kedudukan Liga Super 2024.
“Sebanyak lapan pasukan yang layak secara automatik ke pusingan 16 berdasarkan kedudukan satu hingga lapan Liga Super 2024-2025 iaitu JDT, Selangor FC, Sabah FC, Kuching City FC, Terengganu FC, Kuala Lumpur City FC, PDRM FC dan Penang FC selaku pasukan pilihan,” kata MFL dalam kenyataan, hari ini.
Manakala baki dua kelab terbawah Liga Super iaitu Negeri Sembilan FC dan Kelantan The Real Warriors FC bersama enam pasukan bukan pilihan akan melalui undian terbuka untuk menentukan lawan masing masing.
Menurut MFL, proses undian menyaksikan lapan kelab dalam Pusingan 16 akan diundi dan akan bertemu pasukan pilihan mengikut posisi satu hingga lapan di mana penentuan kelab pilihan dalam mekanisma undian adalah sama seperti yang ditetapkan seperti musim sebelum ini.
Untuk makluman, kelab pilihan yang berada di kedudukan satu, empat, lima dan lapan akan ditempatkan di sebelah kiri jadual manakala yang berada di posisi dua, tiga, enam dan tujuh akan berada di sebelah kanan mengikut struktur yang ditetapkan.
Final musim lalu menyaksikan JDT muncul juara selepas membenam cabaran Selangor FC dengan kemenangan besar 6-1 dalam aksi penuh bergaya di Stadium Nasional Bukit Jalil.-UTUSAN