KUALA LUMPUR: Polis menganggarkan seramai 18,000 orang menyertai Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan berkata, himpunan tersebut berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal walaupun terdapat beberapa perkara teknikal yang tidak dipersetujui pada awalnya.
“Tiada laporan polis dibuat dan semuanya berjalan lancar,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pihak polis akan memanggil penganjur bagi menambah baik sebarang kelemahan yang dikenal pasti.
“Setiap kali ada acara sebegini, kita akan adakan mesyuarat bersama semua pihak bagi melihat aspek yang perlu diperbaiki,” katanya.
Beliau turut mengesahkan bahawa pihak polis telah menerima 60 laporan polis sebelum perhimpunan, yang kebanyakannya membantah penganjuran acara tersebut.
Namun, tiada sebarang laporan diterima sepanjang perhimpunan berlangsung hari ini.
Mohamed Usuf dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mematuhi peraturan dan undang-undang.
Namun beliau menyeru penganjur agar lebih telus dan bekerjasama dengan pihak berkuasa pada masa akan datang.
“Nasihat saya kepada penganjur, pada masa akan datang perlu lebih telus dan beritahu kami lebih awal tentang kehendak mereka.
“Kami akan lihat dari sudut keselamatan kerana ia adalah tanggungjawab kami sepenuhnya,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mohamed Usuf berkata, lebih 3,000 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi mengawal keselamatan sepanjang himpunan berlangsung.
“Kita tingkatkan kekuatan sehingga 3,000 anggota untuk memastikan keadaan kekal terkawal,” katanya.-UTUSAN.