IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) sedang berusaha menjadikan Kompleks Bola Sepak Perak di Chepor di sini sebagai gelanggang rasmi bagi mengharungi Liga A1 Semi Pro musim ini yang dijadual bermula pada 3 Ogos ini.
Presidennya, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, pihaknya telah meminta Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk melakukan pemeriksaan penuh terhadap kemudahan padang dan fasiliti di kompleks yang dibuka pada 2019 itu.
“Secara dasarnya saya rasa penggunaan kompleks itu sebagai gelanggang rasmi pasukan tidak menjadi masalah namun perlu memenuhi beberapa syarat sebelum kelulusan rasmi diberikan.
“Penambahbaikan pada kompleks ini juga mungkin menjadi salah satu syarat dan saya fikir ia sesuatu yang baik kerana selain untuk bola sepak, ia boleh menjadi lokasi kepada pelbagai aktiviti lain,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mohd Azhar berkata, usaha menjadikan kompleks itu sebagai gelanggang rasmi juga adalah disebabkan lokasi sedia ada iaitu Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) agak jauh sedangkan pasukan itu berpangkalan di Ipoh.
“Untuk perlawanan pertama menentang UM Damansara United pada 4 Ogos ini, kami akan bermain di Stadium MPM.
“Namun, untuk kita teruskan di stadium itu mungkin akan beri kesan kepada prestasi pemain dan kos kewangan pasukan juga mungkin meningkat atas faktor logistik,” katanya.
Menyentuh perkembangan terkini pasukan, beliau berkata, seramai 25 pemain telah disenaraikan dalam pasukan melibatkan gabungan pemain muda serta mereka yang pernah beraksi di Liga Super.
“Kalau ikut pada peraturan liga, kita boleh menyenaraikan antara 25 hingga 30 pemain. Jadi, masih terdapat lima lagi kekosongan dalam pasukan namun kita tak mahu tergesa-gesa memenuhi kuota tersebut,” katanya.
Katanya, pihak pengurusan juga giat menilai beberapa pemain import menerusi siri perlawanan persahabatan untuk mengisi tiga kekosongan khususnya di posisi serangan, tengah dan pertahanan.
“Kita telah melakukan ‘trial’ dalam dua siri perlawanan persahabatan sebelum ini.
“Apa yang boleh saya katakan, kita masih terbuka untuk mencari pemain import yang benar-benar berkualiti khusus di ketiga-tiga posisi itu,” katanya.
Pasukan Perak FA akan kendalikan oleh bekas pemain negeri itu iaitu Syamsol Mohd Saad.-UTUSAN