Perdana Menteri sudah beri jawapan berkaitan Titah Adendum

Politik

BAGAN SERAI: Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) pada 11 Julai lalu telah memberi jawapan kepada isu pelaksanaan Titah Adendum membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, walaupun jawapan yang diberikan Perdana Menteri itu tidak boleh didedahkan kepada umum atas faktor sensitiviti namun mesejnya jelas bahawa perkara tersebut sedang ditangani di peringkat tertinggi.

Katanya, dalam pertemuan itu beliau juga ada membangkitkan mengenai tempoh penyelesaian isu tersebut yang telah berlarutan lama.

“Saya orang pertama yang bertanya kepada Perdana Menteri ketika pertemuan di Seri Perdana, saya kata Titah Adendum ini sudah berlarutan dan kalau selesai segera lagi baik.

“Beliau ada memberi jawapan yang tertentu yang saya tidak boleh dedahkan di sini kerana ada perkara sensitif tetapi kita berharap agar ia selesai dengan segera,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Serai di Dewan Dato Zainal Abidin Zin, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat.

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, UMNO menaruh harapan agar titah berkenaan dapat diselesaikan dalam masa terdekat selaras dengan perkembangan terbaharu termasuk kenyataan rasmi Peguam Negara yang mengesahkan kewujudan dokumen berkenaan.

“Apabila kenyataan pihak Peguam Negara mengatakan Titah Adendum itu memang ada maka orang UMNO menunggu tentang perkara itu.

“Tapi kita sedia maklum bahawa ia melibatkan peringkat tertentu dan kita berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN