Arif Aiman fokus aksi persahabatan

Sukan

PETALING JAYA: Bintang muda sensasi negara, Arif Aiman Hanapi, memilih untuk kekal positif dalam menghadapi keputusan kontroversi penarikan diri Harimau Malaya daripada kejohanan Piala Negara-Negara Asia Tengah (CAFA) 2025.

Meskipun tindakan itu mengundang kritikan daripada peminat yang menganggap skuad kebangsaan ‘mundur ke belakang’ kerana memilih berdepan pasukan seperti Singapura (ranking ke-159 dunia) dan Palestin (ranking ke-98), Arif enggan terlalu memikirkannya.

“Sebagai pemain, saya tak ambil kisah sangat. Fokus saya adalah pada apa yang ada di depan mata. Macam saya cakap, persediaan sangat penting. Perlawanan persahabatan ini satu langkah awal yang baik untuk kita hadapi cabaran seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Menandatangani Duta Bola Sepak Baharu jenama antarabangsa, PUMA, semalam.

Keputusan memilih Singapura dan Palestin sebagai lawan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong kerana CAFA 2025 dianggap lebih kompetitif, dengan penyertaan pasukan-pasukan kuat seperti Iran pasukan kedua terbaik Asia yang kini berada di ranking ke-20 dunia.

Arif Aiman bagaimanapun lebih selesa memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh skuad negara bagi menghadapi misi lebih besar iaitu kelayakan Piala Asia 2027, yang akan bersambung Oktober ini.

Harimau Malaya bakal berdepan Laos pada 9 dan 14 Oktober, sebelum bertemu Nepal pada 18 November.

Dalam perkembangan lain, Arif turut meluahkan rasa bangga apabila diberi kepercayaan oleh pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz sebagai kapten pasukan dalam aksi pramusim baru-baru ini.

“Saya anggap ia satu penghargaan besar. Bukan beban, tapi peluang untuk saya tonjolkan diri dan belajar jadi lebih baik sebagai pemain dan pemimpin di atas padang,” jelasnya.-UTUSAN