Mercedes CLA bawah RM100k dari MG!

Perniagaan

Cara termudah untuk menghasilkan sesuatu yang menarik perhatian ialah dengan meniru sesuatu yang memang telah terbukti.

 Ada yang berkata ia adalah perbuatan yang kurang bertanggung-jawab, ada pula yang akan berkata ia adalah satu langkah bijak kerana kejayaan boleh dilihat dari pelbagai cara, termasuk kadar keuntungan.

MG5 yang diuji kali ini pasti akan mengingatkan anda pada model Mercedes-Benz CLA, walaupun bila dilihat selepas beberapa saat, perbezaannya sangat ketara.

 Namun begitu, reka bentuk keseluruhannya diambil dari idea yang sama – sebuah sedan sporti dengan garisan-garisan “fastback coupe”.

 

 “Lantaklah jika dia meniru, yang penting harganya saya mampu,” ujar seorang rakan.

 Jika anda tidak kisah akan rekabentuk celup ini, anda sebenarnya akan membeli sebuah sedan yang memberikan pulangan yang baik untuk duit anda.

 Sedan MG5 merupakan sebuah model yang menggunakan enjin pembakaran dalaman (ICE) yang menampilkan pengayaan reka bentuk fastback coupe dan diposisikan dalam pasaran sebagai segmen-B.

 Melalui pengayaan serba agresif dan dinamik pada hampir keseluruhan kenderaan, ia memberi satu tarikan pada sasaran pengguna yang mahukan kereta yang berbeza.

 Dari segi unit trenkuasa dan prestasi, MG5 menampilkan enjin 1.5 liter empat silinder DOHC yang dipadankan dengan transmisi automatik iCVT lapan kelajuan.

 

 Unit enjin tersebut mengeluarkan kuasa output maksimum sehingga 112 PS pada 6,000 rpm dan kuasa tork sehingga 150 Nm pada 4,500 rpm.

 MG5 hadir dengan transmisi CVT dengan ciri penukaran gear, di mana pemandu boleh memilih mod gear manual lapan kelajuan dan memberikan ‘jiwa’ tambahan dalam pemanduan MG5 ini.

 Namun begitu setelah dicuba beberapa hari, ternyata hantaran tenaga tidak begitu agresif kerana ia memerlukan masa yang agak lama untuk mencapai halaju maksimum.

 Ini mungkin berbeza dengan gaya sporti luar dalam yang diberikan oleh MG untuk sedan kebanyakan ini.

 Bahagian kabin contohnya, lengkap dengan papan pemuka yang dinamik dan sudut paparan konsol tengah yang lebih kearah pemandu, seperti apa yang ada di dalam BMW 3-Series E36 dan E46.

 Kebolehcapaian untuk butang konsol dan ciri-ciri adalah lebih ringkas, dan lebih ‘straightforward’, serta paparan infotaimen bersaiz 10.25 inci turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.

 Bagi penulis, ini menjadikan MG5 tidak rumit ketika berada dalam kokpit pemandu kerana kesemua butang kawalan jelas dipaparkan sama ada di konsol tengah dan juga butang kawalan steering.

 MG5 turut menampilkan ruangan dalam yang sporty apabila jahitan berwarna merah ditampilkan pada trim pintu, setiap kerusi dalaman, dan juga stering. 

Selain itu, dari segi keselesaan dan praktikaliti MG5 ini, penulis merasakan MG5 ini banyak kelebihan, di mana ruangan bagi barisan penumpang belakang adalah cukup luas, memberikan lebih keselesaan pada penumpang tidak kira tinggi.

Dengan ukuran jarak roda sehingga 2680mm ia serta merta memberi perkara tersebut kelebihan dan juga ruangan but kargo yang lebih luas sesuai untuk dijadikan sebuah kereta keluarga.

Sistem gantungan pula ialah yang asas – topang MacPherson di hadapan dan torsion beam di belakang. Ia tidak akan menjadi kenderaan paling selesa di atas jalanraya tetapi juga tidak akan menjadi kereta paling tidak selesa.

Tambahan pula, ciri seperti “sunroof” turut ditawarkan pada MG5 ini, maka ia beri lebih suasana yang luas dalam ruangan kabin apabila dibuka penutupnya. 

Bagi ciri keselamatan, MG5 menampilkan enam beg udara dan sistem bantuan pemandu MG 

Pilot yang menampilkan ciri seperti berikut;

 

  •         Lane Departure Warning,
  •         Lane Change Assist,
  •         Blind Spot Detection,
  •         Rear Collision Warning
  •         Rear Cross Traffic Alert,
  •         Electronic Stability Program,
  •         Anti-Lock Brake system (ABS),
  •         Electronic Brakeforce Distribution (EBD),
  •         Traction and Cornering Brake controls

 

Sebagai maklumat tambahan mengenai kegusaran keselamatan MG5 yang peroleh sifar bintang dalam ujian Program Penilaian Kereta Baharu Australasian (ANCAP) pada 2023.

 Menurut Ketua Pemasaran SAIC Motor Malaysia, Phang Rick Kee bahawa unit yang diuji oleh ANCAP adalah berbeza dengan unit yang dipasarkan di Malaysia.

 Beliau menjelaskan bahawa unit MG5 di Australia adalah unit Complete Build-up (CBU) yang diimport terus dari China.

 Unit MG5 tersebut merupakan unit varian asas yang datang tanpa “pre-tensioner” pada tali pinggang keledar keselamatan manakala unit yang dipasarkan di Malaysia merupakan unit yang diimport daripada Thailand dan kesemua unit tersebut telah terima diberikan “pre-tensioner”.

 Secara keseluruhannya, bagi penulis, MG5 ini sesuai bagi mereka yang mahu suatu kereta yang lebih tampil dengan pengayaan yang sporty dan juga fungsi praktikaliti yang lebih selesa untuk sebuah kereta keluarga atau persendirian.

 Tambahan pengalaman pemanduan penulis mengenai penggunaan bahan api sewaktu sesi pandu pula, penulis berasa berbaloi dengan satu pengisian penuh, mampu pergi sehingga 400km (mengikut cara pemanduan). 

Dengan tanda harga yang diletakkan dibawah RM100 ribu iaitu RM93,900 dan hanya satu varian sahaja yang ditawarkan ketika ini, bagi penulis ia adalah pembelian yang berbaloi untuk mereka yang ingin suatu lain dari lain.

 MG5 di pasaran Malaysia ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu Nuclear Yellow, Artic White, Dynamic Red, Black Pearl dan Camden Grey.

 

Spesifikasi

Enjin: 1.5L DOHC 4 silinder 16V VTI-TECH

Transmisi: CVT

Kuasa maksimum: 114PS @ 6,000 rpm

Daya kilas maksimum: 150Nm @ 4,500 rpm

Kelengkapan: 6 beg udara, ABS, TCS, Isofix, tempat duduk hadapan jenis kawalan elektrik, kamera 360-darjah,

Harga: RM93,900 dengan 5 tahun jaminan tanpa had perbatuan untuk kenderaan dan 7 tahun jaminan tanpa had perbatuan untuk enjin dan transmisi. – UTUSAN