PETALING JAYA: Prestasi Nestle (Malaysia) Bhd. dijangka sederhana pada separuh kedua tahun ini, dipengaruhi kenaikan kos bahan mentah seperti biji kopi dan koko serta ketiadaan sambutan perayaan utama yang mampu merangsang jualan, kata penganalisis ekonomi.
Hong Leong Investment Bank Bhd. (HLIB) berpandangan Nestle Malaysia kekal berdepan persekitaran operasi yang mencabar, susulan ketidaktentuan harga komoditi, sentimen pengguna yang masih lemah serta ketegangan geopolitik yang berlarutan.
“Walaupun rundingan gencatan senjata antara Israel dan Gaza memberi sedikit kelegaan, kami menjangka proses normalisasi jualan akan berlaku secara berperingkat,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Dalam masa sama, HLIB memaklumkan Nestle Malaysia mencatat kemajuan dalam agenda kemampanan termasuk memeterai memorandum persefahaman bersama organisasi Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Berikutan prestasi semasa yang mengatasi jangkaan, HLIB turut menyemak naik unjuran keuntungan syarikat itu sebanyak tujuh peratus bagi tahun kewangan 2025, enam peratus (2026) dan lima peratus (2027).
Bagaimanapun, CIMB Securities menjangkakan prestasi syarikat itu akan mencatat peningkatan secara tahunan, didorong oleh pertumbuhan jualan domestik dan eksport.
“Dari segi jualan dalam negara, kami menjangka pemulihan permintaan secara beransur-ansur apabila sentimen pengguna kembali stabil susulan kesan boikot yang semakin reda.
“Bagi pasaran eksport pula, prestasi dijangka terus kukuh berikutan kedudukan Nestlé Malaysia sebagai hab pengeluaran dan pengeksport halal global bagi Kumpulan Nestlé,” katanya.
Firma penyelidikan itu turut menjangka margin keuntungan syarikat akan bertambah baik, disokong pelaksanaan kenaikan harga pada separuh pertama 2025, campuran produk yang lebih menguntungkan serta langkah penjimatan kos yang berterusan.
Susulan itu, kedua-dua firma penyelidikan mengekalkan saranan ‘Pegang’ terhadap saham Nestle Malaysia, dengan HLIB menaikkan harga sasarannya kepada RM80 daripada RM78 sebelum ini, manakala CIMB Securities kekal dengan sasaran RM86.20.
Minggu lalu, Nestlé Malaysia mencatatkan pertumbuhan untung bersih sebanyak RM112.1 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025, berbanding RM93.6 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Pada suku sama, syarikat merekodkan perolehan RM1.67 bilion, iaitu peningkatan 9.5 peratus berbanding suku kedua 2024.
Syarikat berkata, prestasi ini menunjukkan keupayaan syarikat untuk menguruskan margin menerusi penggunaan rangka kerja “Nestlé Virtuous Circle” secara sistematik, walaupun menghadapi ketidakstabilan harga komoditi.
Katanya, penekanan ini memberikan tumpuan berterusan kepada kecekapan dan usaha mengoptimumkan kos bagi membiayai pelaburan dana yang memacu pertumbuhan dan meningkatkan bahagian pasaran. -UTUSAN