Pelabur asing catat jualan bersih RM89.9 juta minggu lalu

Perniagaan

PETALING JAYA: Pelabur asing meneruskan aliran jualan bersih mereka selama tiga minggu berturut-turut, mencatatkan aliran keluar sebanyak RM89.9 juta minggu lalu, lebih kecil berbanding aliran keluar minggu sebelumnya sebanyak RM206.1 juta, menurut MBSB Research. 

Firm penyelidikan berkata, pelabur asing merupakan penjual bersih pada setiap hari dagangan kecuali pada hari Rabu dan Khamis dengan aliran keluar harian antara RM21.0 juta hingga RM136.5 juta. 

“Aliran keluar terbesar dicatatkan pada hari Jumaat, diikuti oleh Isnin (RM52.3 juta) dan Selasa (RM21.0 juta). Hari Rabu dan Khamis masing-masing mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM97.3 juta dan RM22.6 juta.

“Tiga sektor tertinggi yang mencatatkan aliran masuk bersih asing tertinggi adalah pengangkutan dan logistik (RM158.7 juta), utiliti (RM69.5 juta) dan pembinaan (RM51.4 juta),” katanya dalam nota aliran tunai. 

Selain itu, MBSB Research berkata, tiga sektor tertinggi yang mencatatkan aliran keluar bersih asing tertinggi pula ialah perkhidmatan kewangan (RM174.1 juta), teknologi (RM80.8 juta) dan telekomunikasi dan media (RM20.8 juta).

“Institusi tempatan meneruskan aliran jualan bersih mereka selama dua minggu berturut-turut, dengan aliran keluar bersih sebanyak RM15.5 juta, lebih kecil berbanding aliran keluar minggu sebelumnya sebanyak RM33.3 juta,” katanya. 

Sementara itu, pelabur runcit tempatan terus mencatatkan aktiviti pembelian bersih, menjadikan ia tiga minggu berturut-turut pembelian bersih, dengan aliran masuk bersih sebanyak RM105.4 juta.

“Purata jumlah dagangan harian (ADTV) mengalami penurunan secara menyeluruh minggu lepas. 

“Pelabur asing dan pelabur runcit tempatan masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 5.5 peratus dan 2.13 peratus, manakala institusi tempatan mencatatkan penurunan sederhana sebanyak 0.8 peratus,” katanya. – UTUSAN