Median upah sektor formal meningkat kepada RM3,000

Perniagaan

PETALING JAYA:  Median upah bulanan meningkat 5.5 peratus kepada RM3,000 bagi 6.8 juta orang pekerja sektor formal pada Mac 2025, berbanding RM2,844 yang dicatatkan tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menurut Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Pertama 2025, angka tersebut seiring dengan peningkatan guna tenaga yang berterusan, dengan jumlah guna tenaga formal masing-masing meningkat sebanyak 3.1 peratus, 3.4 peratus dan 3.6 peratus pada bulan Januari, Februari dan Mac. 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan median upah bulanan menandakan landskap pasaran buruh yang lebih menggalakkan, disokong oleh dasar terkini seperti semakan ke atas kadar gaji minimum serta pertumbuhan ekonomi yang berterusan pada suku pertama 2025.

Katanya, dari segi pekerja formal mengikut jantina, bilangan pekerja formal lelaki Malaysia mencapai 3.7 juta orang pada Mac 2025, menyumbang 55.1 peratus daripada jumlah guna tenaga formal dengan median upah bulanan RM3,000. 

“Sebagai perbandingan, pekerja formal perempuan terdiri daripada 44.9 peratus atau 3.04 juta orang, memperoleh median upah bulanan sebanyak RM2,982. 

“Berbanding Mac tahun lepas, median upah bulanan pekerja formal lelaki dan perempuan masing-masing menunjukkan peningkatan sebanyak 3.4 peratus dan 6.5 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, semua kumpulan umur mencatatkan kenaikan upah dengan peningkatan paling ketara dalam kalangan pekerja di bawah umur 20 tahun, median upah bulanan meningkat sebanyak 13.3 peratus kepada RM1,700 pada Mac 2025. 

Menurutnya, peningkatan ini disokong dengan ketara oleh pelaksanaan dasar gaji minimum yang disemak semula pada awal Februari. 

“Bilangan pekerja formal juga meningkat merentasi semua kumpulan umur, kecuali kumpulan umur 20 hingga 24 tahun,” ujarnya.

Mohd Uzir berkata, sektor perlombongan dan pengkuarian mengekalkan median upah bulanan tertinggi pada RM8,800 pada Mac 2025, walaupun meliputi hanya 0.6 peratus daripada jumlah guna tenaga formal, menunjukkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 4.8 peratus. 

“Sebaliknya, sektor pertanian yang menyumbang 1.9 peratus daripada pekerja formal mencatatkan median upah bulanan terendah iaitu RM2,200. 

“Dari segi geografi, Kuala Lumpur mendahului kedudukan median upah bulanan pada RM4,445, diikuti oleh Selangor pada RM3,300, manakala Sabah (RM2,000), Kelantan (RM1,800) dan Perlis (RM1,800) mencatatkan median upah bulanan terendah,” jelasnya.

Melihat kepada taburan upah, Mohd Uzir berkata, 27.4 peratus pekerja formal warganegara menerima upah bulanan di bawah RM2,000 pada Mac 2025, menunjukkan penurunan sebanyak 3.8 mata peratus daripada 31.2 peratus yang direkodkan pada Mac 2024. – UTUSAN