PETALING JAYA: Kelantan The Real Warriors (TRW) FC terus mengorak langkah serius dalam persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/26 apabila mengikat dua pemain tengah berprofil tinggi, termasuk bekas bintang Sri Pahang, Nor Azam Azih.
Perkembangan itu diumumkan sendiri oleh Presiden Kelantan TRW FC, Tan Sri Annuar Musa, menerusi laman Facebook miliknya, semalam.
Menurut beliau, Nor Azam bukan satu-satunya nama besar yang dibawa masuk, kerana bekas pemain import Terengganu FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Habib Haroon, turut sah menjadi sebahagian daripada pasukan itu.
Dengan kemasukan Nor Azam yang terkenal dengan ketenangan dan kreativiti di tengah padang manakala kekuatan fizikal serta pengalaman Habib Haroon, penyokong TRW dijangka menaruh harapan tinggi untuk melihat kebangkitan semula pasukan kesayangan mereka.
“Sebagai usaha memperkasa bahagian tengah pasukan Liga Super Kelantan, kita bersetuju membawa masuk dua tonggak penting. Nor Azam Azih dan Habib Haroon kini sebahagian daripada skuad 28 pemain TRW.
“Dua lagi pemain tempatan dan seorang pemain ASEAN akan memperkukuh barisan pertahanan. Kini skuad Kelantan TRW lengkap dan bersedia memulakan saingan liga dan Piala FA mulai Ogos ini,” tulis Annuar.
Selain itu, Annuar turut memaklumkan bahawa jersi Kelantan TRW yang akan digunakan untuk musim 2025/26 bakal dilancarkan pada Jumaat ini.
Beliau mencadangkan jersi itu dijual di bawah harga RM100 bagi memastikan penyokong tidak terbeban untuk mendapatkan jersi skuad pasukan kesayangan mereka.
“Semoga setiap keluarga rakyat Kelantan dan penyokong TRW semuanya memiliki sekurang-kurangnya sehelai jersi TRW 2025/26.
“Tunggu Jumaat ini, pasukan penuh Liga Super Kelantan TRW muncul memperagakan jersi musim 2025/26 serta memperkenalkan jersi edisi khas,” tambahnya. – UTUSAN