Izzat Shamer tekad rampas semula No. 1 dunia boling padang

Sukan

IPOH: Jaguh boling padang negara, Izzat Shameer Dzulkeple mahu merampas semula kedudukan sebagai pemain nombor satu dunia, yang pernah dicapainya pada September 2024.

Pemain itu kini yang berada pada kedudukan nombor 11 ranking World Bowls Series, menyusun perancangan untuk meniti hasrat tersebut dengan mendapat kedudukan terbaik dalam penyertaan kejohanan Dunia.

Atlet kelahiran Perak berusia 43 tahun itu fokus terhadap pertandingan Piala Dunia 12 negara terbaik yang akan dilangsungkan dari 4 hingga 8 November ini di Pusat Boling Padang Nasional Bukit Kiara.

“Saya mahu mendapatkan pingat dalam pertandingan ini, kerana akan menyumbangkan mata kepada saya untuk perlahan-lahan mendaki ranking.

“Malah saya memberi fokus kepada kejohanan lain yang boleh membantu saya untuk kembali berada di kelompok teratas dunia,” katanya.

Izzat Shameer ditemui selepas dinobatkan sebagai Olahragawan Perak 2023/2024 yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam majlis Anugerah Sukan Negeri Perak 2023/2024 di sini semalam.

Pada September 2024, Izzat Shameer mengharumkan nama Malaysia apabila berstatus pemain No. 1 dunia susulan kejayaanya meraih emas acara perseorangan Kejohanan Boling Padang Asia 2024 dan Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024.

Dia bersama pasukan negara akan berlepas ke Glasgow, Scotland pada Ogos ini untuk menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi kejohanan dunia serta Sukan Komanwel 2026.

Sementara itu jaguh tenpin boling negara, Sin Li Jane dinobatkan sebagai Olahragawati Perak 2023/2024. 

Li Jane diwakili abangnya, Sin Ken Mun menerima anugerah tersebut kerana pemain itu sedang menyertai pertandingan antarabangsa di Amerika Syarikat.

Izzat Shameer dan Li Jane meraih hadiah wang tunai RM7,000, blazer anugerah serta piala  bagi kategori masing-masing.

Sementara itu, Low Jeng Yih daripada sukan bola tampar pantai dan atlet renang, Joelle Chan Zu-Ee masing-masing menerima anugerah Olahragawan Harapan dan Olahragawati Harapan dengan membawa pulang piala dan insentif RM3,000.

Anugerah lain ialah Pasukan Terbaik yang dimenangi oleh pasukan sepak takraw, Perak Bison manakala anugerah Khas Persatuan Sukan diterima oleh Persatuan Golf Negeri Perak.

Dua atlet para sukan berbasikal, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin dan Nur Suraiya Muhammad Zamri masing-masing merangkul Anugerah Atlet Terbaik Para Lelaki dan Wanita dengan menerima insentif RM7,000 berserta piala. – UTUSAN