Justin cipta sensasi, mara separuh akhir Terbuka Macau

Sukan

PETALING JAYA: Pemain perseorangan muda lelaki negara, Justin Hoh terus mencipta kejutan apabila menempah slot ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Macau 2025 selepas menundukkan pemain Thailand, Kantaphon Wangcharoen hari ini.

Turun tanpa sebarang tekanan, Justin memperagakan aksi penuh bertenaga untuk menewaskan pemain No.54 dunia itu 21-9, 21-18 pada aksi suku akhir dalam tempoh 37 minit di Dewan Sukan Asia Timur Macau.

Kemenangan tersebut sekali gus menjadi pembalasan manis terhadap kekalahan yang dialaminya kepada Kantaphon pada pertemuan sulungnya di Korea Masters, tahun lalu.

Pemain ranking ke-45 dunia itu dijadual menentang jaguh muda India, M. Tharun dalam misi melakar sejarah ke final kejohanan bertaraf Super 300 tersebut esok.

Untuk rekod, ini merupakan pencapaian tertinggi Justin pada musim ini sekali gus dalam kejohanan bertaraf Super 300 setakat ini.

Sementara itu, beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut mengesahkan kemaraan ke separuh akhir selepas menewaskan pilihan kelapan dari Indonesia, Adnan Maulana-Indah Cahya Sari Jamil 21-17, 22-20.

Tang Jie-Ee Wei yang turun selaku pilihan utama dijadual berdepan ujian getir menentang gandingan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje pada separuh akhir esok.

Christiansen-Boje merupakan pasangan yang menyingkirkan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin di pusingan kedua dan kini menjadi tumpuan untuk mengejutkan pasangan utama negara pula.

Turut mencuri tumpuan ialah pasangan profesional baharu negara, Jimmy Wong-Lai Pei Jing yang mengejutkan pilihan kedua dari China, Cheng Xing-Zhang Chi dalam aksi tiga set sengit.

Kemenangan 21-17, 17-21, 21-19 dalam tempoh sejam itu membuktikan kredibiliti gandingan Jimmy-Pei Jing yang baru dibentuk awal tahun ini selepas pasangan Pei Jing, Tan Kian Meng mengumumkan persaraan, tahun lalu.

Mereka bakal berdepan pilihan keenam dari Indonesia, Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah dalam perebutan tempat ke final esok yang dijangka berlangsung penuh dramatik. – UTUSAN