Penghantaran Proton X50 terbaru cecah lebih 1,000 unit dalam tempoh lima hari

Perniagaan

PETALING JAYA: Proton X50 baharu merekodkan permulaan memberansangkan apabila sebanyak 999 unit berjaya diserahkan kepada pelanggan dalam tempoh lima hari bekerja. 

Penghantaran tersebut dilakukan selepas pelancaran rasminya pada 24 Julai lalu. 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Zhang Qiang berkata, sebanyak 2,000 unit telah siap dipasang di kilang Proton di Tanjong Malim pada akhir bulan Julai 

Katanya, jumlah itu dijangka terus meningkat dalam tempoh terdekat bagi memastikan permintaan tinggi dapat dipenuhi dan tempoh menunggu bagi pelanggan kekal minimum.

“Kami memperoleh 5,000 tempahan dalam masa 10 hari sebelum harga didedahkan dan kini kami telah menerima tempahan secara kumulatif sebanyak 8,000 unit.

“Bagi memenuhi permintaan pelanggan, kami menjalankan inisiatif untuk menyegerakan stok dan memaksimumkan pengeluaran sebaik sahaja pelancaran dibuat,” katanya dalam kenyataan. 

Dalam pada itu, bagi mendekati segmen pasaran yang lebih muda, Proton telah menjalin kerjasama dengan artis dan pempengaruh tempatan untuk pelancaran X50 baharu.

Katanya, sebuah lagu istimewa telah dihasilkan bersama kumpulan nyanyian De Fam yang akan dipersembahkan secara langsung, di samping melancarkan video muziknya di majlis pelancaran.

Selain itu, Proton turut bekerjasama dengan Anugerah Melodi Terhangat (AMT), sebuah majlis anugerah tahunan di mana penonton mengundi untuk artis kegemaran mereka. 

Acara kemuncak itu akan berlangsung pada hari Ahad, 3 Ogos ini, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di mana pemenang anugerah utama berpeluang membawa pulang sebuah PROTON X50 baharu.

Model baharu itu menampilkan teknologi pemanduan pintar ADAS Tahap 2, enjin i-GT 1.5TD berkuasa 181PS, skrin bersaiz 14.6 inci serta pengecaman suara dalam Bahasa Melayu, ciri pertama dalam kenderaan Proton.

Diperkenalkan dalam tiga varian iaitu Executive (RM89,800), Premium (RM101,800) dan Flagship (RM113,300), model ini turut disertakan dengan Tawaran Gempak! iaitu rebat tunai RM4,000 kepada 10,000 pembeli terawal, menjadikannya antara tawaran paling kompetitif dalam pasaran SUV segmen B.

Sejak pelancarannya pada Oktober 2020, Proton X50 telah mencatat jualan sebanyak 140,000 unit, menjadikannya SUV segmen-B paling popular di Malaysia. -UTUSAN