PETALING JAYA: Pakar kejuruteraan berketepatan tinggi, UMS Integration Limited (UMS) membuat penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia, dibuka pada harga RM5.15 sesaham berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM5 sesaham melalui kaedah pengenalan (Penyenaraian Sekunder).
Pembukaan itu memberikan permodalan pasaran berjumlah RM3.56 bilion dan UMS kekal dengan penyenaraian utama di Bursa Saham Singapura, di mana harga penutup saham pada hari dagangan sebelumnya ialah S$1.52, yang digunakan sebagai penanda aras harga pembukaan di Bursa Securities hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif UMS, Luong Andy berkata, kemunculan syarikat di Pasaran Utama Bursa Securities menandakan permulaan baharu bagi UMS Integration Limited.
“Penyenaraian Sekunder ini membolehkan kami meluaskan asas pelabur, meningkatkan kecairan dagangan melalui platform berasingan serta memberi fleksibiliti untuk mengakses pelbagai pasaran ekuiti bagi tujuan pengumpulan dana pada masa hadapan.
“Kami berterima kasih kepada Bursa Securities atas sambutan mesra yang diberikan.
“Berdasarkan maklum balas positif daripada pelabur setakat ini dan prestasi memberangsangkan saham kami di Bursa Singapura sejak pengumuman penyenaraian sekunder ini, pemilihan Bursa Securities sememangnya keputusan yang tepat bagi UMS,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas mengenai prospek syarikat, beliau turut optimis dengan menekankan potensi dalam pengeluaran komponen berketepatan tinggi untuk penyelesaian pembungkusan termaju.
“UMS sedang meningkat dalam rantaian nilai semikonduktor.
“Kami ingin memperluas peranan kami dan menghasilkan komponen berketepatan tinggi bernilai tambah yang lebih tinggi untuk para pelanggan,” katanya.
Bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025, UMS mencatatkan pendapatan sebanyak S$57.7 juta, meningkat 7.0 peratus berbanding S$54.0 juta setahun lalu.
Keuntungan bersih pula meningkat 1.0 peratus kepada S$10.1 juta, berbanding S$10.0 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Selain itu, segmen semikonduktor menyumbang 84.3 peratus kepada jumlah pendapatan, diikuti segmen aeroangkasa (10.7 peratus), manakala baki 5.0 peratus disumbangkan oleh segmen lain.
UMS turut mengekalkan kunci kira-kira kukuh dengan tunai bersih berjumlah S$81.4 juta, bersamaan dengan tunai bersih sesaham sebanyak S$0.11 setakat akhir Mac 2025.
Sepanjang suku tersebut, UMS mengisytiharkan dividen interim pertama bebas cukai sebanyak S$0.01 sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, yang telah dibayar pada 24 Julai 2025, selaras dasar pembayaran dividen suku tahunan yang diamalkan sejak 2012.
TA Securities Holdings Berhad bertindak sebagai Penasihat Utama, manakala CGS International Securities Malaysia Sdn. Bhd. merupakan Penasihat Kewangan bagi Penyenaraian Sekunder itu.-UTUSAN