PETALING JAYA: Pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur yang diumumkan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) diyakini menjadi pemangkin kepada peningkatan nilai hartanah, pertumbuhan aktiviti ekonomi setempat serta peluasan akses kepada peluang pekerjaan dan perkhidmatan awam.
Pengasas dan Pengarah Urusan Trinity Group, Datuk Neoh Soo Keat berkata, inisiatif seperti ini bukan sahaja memperkukuh jaringan pengangkutan awam, malah turut menjana limpahan ekonomi yang memberi kesan positif secara berterusan kepada komuniti dan perniagaan di kawasan terlibat.
“Antara inisiatif strategik tersebut termasuk pembinaan ECRL, Landasan Berkembar Gemas–Johor Bahru, E-ART Wilayah Iskandar dan projek LRT Laluan Mutiara di Pulau Pinang, yang bakal mempercepat pelaksanaan pembangunan berorientasikan transit (TOD) secara holistik.
“Sebagai pemaju hartanah yang telah melaksanakan projek berkonsepkan TOD seperti Trinity Rainfora, kami yakin projek ini berada pada landasan yang kukuh untuk meraih manfaat daripada inisiatif ini.
“Projek-projek sebegini bukan sahaja menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, malah turut mencetuskan limpahan ekonomi yang memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk dan perniagaan di sekitarnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Trinity Group Sdn. Bhd. ditubuhkan pada tahun 2004 dan beroperasi sebagai pembangunan hartanah boutique yang menumpu kepada projek berorientasikan gaya hidup dan pembangunan berimpak tinggi dalam komuniti bandar, terutama di Lembah Klang.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Operasi, M K Land Holdings Berhad, Nazri Tumin berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif Kerajaan di bawah RMK-13 yang memberi penekanan terhadap penyediaan Rumah Mampu Milik serta pembangunan Kota Madani yang lebih inklusif, mampan dan berdaya huni.
“Seperti yang diumumkan, projek Kota Madani bakal menempatkan lebih 10,000 unit kediaman untuk lebih 30,000 penduduk, lengkap dengan kemudahan asas seperti sekolah, masjid, klinik kerajaan dan prasarana komuniti yang menyokong gaya hidup bandar pintar dan mesra alam.
“Sebagai pemaju hartanah yang berpengalaman lebih dua dekad dalam industri, kami di M K Land percaya aspirasi ini amat tepat pada masanya.
“Namun, untuk mencapai objektif tersebut, seluruh ekosistem pelaksanaan perlu bergerak secara lancar dan bersepadu, bermula daripada proses kelulusan yang pantas, kos pembiayaan yang berpatutan, harga bahan binaan yang stabil, sehingga kepada struktur harga rumah yang benar-benar mampu dimiliki oleh rakyat.,” katanya.
Dalam pembentangan RMK13 kelmarin, pembangunan infrastruktur berskala besar juga kekal sebagai keutamaan demi memperkukuh keterhubungan antara wilayah serta merangsang pertumbuhan kawasan sekitar secara terancang.
Antara projek yang dilaksanakan iaitu pembinaan ECRL yang menghubungkan Kelantan, Terengganu, Pahang dengan pantai barat Semenanjung Malaysia, Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru dan E-ART Johor Bahru dan Projek LRT Pulau Pinang.
Inisiatif ini turut mempercepat pembangunan berorientasikan TOD yang menyatukan elemen pengangkutan dengan perumahan, komersial dan perkhidmatan kaunter awam. -UTUSAN