Anugerah Merdeka dorong Gading Kencana pacu projek TBB

Perniagaan

PETALING JAYA: Gading Kencana Sdn. Bhd. menyifatkan penerimaan anugerah Merdeka oleh Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) sebagai satu pengiktirafan bermakna terhadap sumbangannya dalam industri tenaga boleh baharu (TBB).

Pengarah Urusannya, Datuk Ir. Guntor Tobeng berkata, ia bukan sekadar mengiktiraf pencapaian perniagaan, malah turut menilai sumbangan syarikat dalam membina rantaian nilai melalui penglibatan vendor-vendor tempatan.

“Anugerah ini sangat bermakna kepada kerana ia menjadi bukti pengiktirafan terhadap peranan kami dalam membangunkan lebih 21 syarikat Bumiputera melalui pelaksanaan projek subkontrak.

“CGC tidak hanya melihat kepada keuntungan syarikat, malah memantau pertumbuhan kami sejak awal, termasuk bagaimana kami membantu membina kapasiti vendor lain,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Gading Kencana menerima anugerah berprestij itu yang dirasmikan oleh Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour pada satu majlis malam kelmarin.

Guntor turut berkongsi bahawa pemantauan CGC berterusan sejak awal pembiayaan, meskipun pinjaman telah selesai, menjadikan hubungan itu sebagai sebahagian daripada ekosistem pertumbuhan syarikat.

Katanya, pengiktirafan ini turut memberikan motivasi baharu kepada beliau dan pasukannya untuk terus meneroka bidang tenaga baharu sejajar dengan hala tuju kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai inisiatif Community Renewable Energy Aggregation Mechanism (KRIM) selari dengan usaha kami untuk merakyatkan kekayaan industri tenaga.

“Melalui model ini, kita akan menyewa bumbung rumah penduduk bagi membina ladang solar dan tenaga yang dihasilkan akan dijual kepada syarikat yang memerlukan sumber tenaga bersih,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan masa hadapan, Guntor berkata, syarikat kini sedang menyertai tender projek Battery Energy Storage System (BESS) yang dijangka diumumkan pada Oktober ini.

Dengan sokongan jaminan pembiayaan daripada CGC, beliau yakin syarikat mampu meneroka lebih banyak peluang dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.

“Dana sebanyak RM2.9 bilion yang disediakan CGC memberi ruang besar untuk kami memperluas operasi. Kami akan terus mara ke hadapan dengan semangat baharu hasil pengiktirafan ini,” katanya.-UTUSAN