Perlis pamer semangat juang tinggi ikat Kedah

Sukan

KANGAR: Beraksi dengan 10 pemain lebih 60 minit tidak mendatangkan masalah untuk Perlis Guar Syed Alwi (GSA FC) mengikat Kedah FA 0-0 dalam saingan Liga A1 Semi Pro di Stadium Tuanku Syed Putra, kelmarin.

Beraksi di hadapan ribuan penyokong yang merindukan zaman kegemilangan bola sepak Singa Utara, anak-anak buah Amar Rohidan mempamerkan disiplin tinggi biarpun tidak dibarisi pemain import pada musim ini.

Amar yang juga bekas pemain kebangsaan percaya, jika Perlis beraksi dengan 11 pemain, suasana perlawanan itu akan berubah dengan pasukannya mampu mencipta jaringan sekali gus memungut tiga mata di Kangar.

Perlis beraksi dengan 10 pemain bermula pada minit ke-35, apabila Nasri Thauhid dilayangkan kad merah selepas dikesan mengasari pemain import Lang Merah, Yakubu Abubakar.

Amar berkata, pemainnya telah memberikan persembahan sehabis baik dengan mengekalkan momentum dan disiplin permainan sehingga akhir perlawanan dan dia juga sudah mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Kekurangan seorang pemain dalam tempoh yang agak panjang itu bukan sesuatu yang mudah sehingga mengganggu rentak permainan kita untuk mendapatkan jaringan gol.

“Saya bersyukur pemain dapat bertahan dengan baik sehingga tamat perlawanan. Pada separuh masa pertama, kita memang beraksi dengan baik namun layangan kad merah itu menyukarkan sedikit usaha kita untuk bergerak,” katanya.

Tambah Amar, dia berharap perlawanan seterusnya menentang Machan FC minggu depan, Perlis dapat mengutip tiga mata sekali gus mengembalikan moral para pemain.

Sementara itu Presiden Perlis GSA FC, Izizam Ibrahim berkata, semangat beraksi di hadapan ribuan penyokong di stadium di sini selepas sekian lama menyuntik motivasi pemain untuk terus menyajikan permainan terbaik di sebalik terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

“Saya juga berpuas hati dengan permainan daripada pemain yang semuanya terdiri daripada anak negeri ini. Kita juga sememangnya mempunyai perancangan untuk mengambil pemain import selepas ini, namun hasrat itu akan diusahakan mengikut faktor kewangan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Kedah FA, Victor Andrag tetap berpuas hati dengan aksi ditampilkan anak buahnya biarpun diikat tanpa jaringan oleh tuan rumah.

“Untuk perlawanan pertama kita dapat cipta banyak peluang cuma tidak berjaya menyempurnakan untuk menghasilkan gol. Keseluruhannya baik, namun keserasian pemain belum ada, jadi banyak benda kena perbaiki.

“Tapi untuk perlawanan ini, kita masih gembira apabila dapat bawa pulang satu mata,” katanya.-UTUSAN