Arif-Roy King akhiri kemarau 12 tahun

Sukan

PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Junaidi Arif-Yap Roy King menamatkan kemarau selama 12 tahun selepas menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Macau di Macau, semalam.

Gandingan yang menghuni ranking ke-24 dunia itu mengejutkan beregu No. 8 dunia yang diletakkan selaku pilihan pertama, Sabar Karyaman-Moh Reza Pahlevi Isfahani dari Indonesia 22-20, 21-18 dalam masa 1 jam 20 minit pada perlawanan akhir.

Arif-Roy King yang belum pernah merangkul sebarang gelaran sejak digandingkan bersama membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$29,230 (RM125,031) beserta pingat emas.

Kejayaan tersebut juga menyaksikan Arif-Roy King merapatkan rekod pertemuan dengan Sabar-Moh Reza kepada 2-3.

Kali terakhir beregu Malaysia merangkul gelaran di Terbuka Macau ialah pada 2013 menerusi Hoon Thien How-Tan Wee Keong.

Sementara itu, masih banyak ‘kerja rumah’ yang perlu dilakukan pemain muda negara, Justin Hoh selepas muncul naib juara Terbuka Macau, jika dia berhajat untuk melangkah lebih jauh selepas ini.

Justin yang berjaya melakar sejarah dalam kariernya mara ke perlawanan akhir, namun, dia tewas di tangan pemain No. 25 dunia, Alwi Farhan dari Indonesia 15-21, 5-21 dalam masa 54 minit.

Pemain berusia 21 tahun itu membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$14,060 (RM60,141) beserta pingat perak.

Justin merupakan pemain perseorangan lelaki No. 3 Malaysia di belakang Leong Jun Hao dan Lee Zii Jia, tetapi, sejak Datuk Seri Lee Chong Wei bersara, Malaysia ketandusan wakil yang mampu menghadirkan cabaran sebenar dengan prestasi turun, naik sering disajikan oleh pemain generasi hari ini.

Ketua jurulatih perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen berkata, kekalahan Justin merupakan satu proses pembelajaran buat anak muda tersebut bagi menggali lebih banyak pengalaman yang bermanfaat.

“Saya berasakan, hari ini, (semalam) satu proses pembelajaran dan menimba pengalaman buat Justin, perjalanan dia masih jauh dan perlu bekerja keras,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Pengendali berasal dari Denmark itu berharap, pemain bimbingannya itu dapat bangkit segera dan kembali mempamerkan prestasi yang lebih mantap.-UTUSAN