Pixelvest didenda RM3j akibat aktiviti pasaran modal tanpa lesen

Perniagaan

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur baru-baru ini mensabitkan Pixelvest Sdn. Bhd. (Pixelvest) dan Pengarahnya, Ang Jen Chuen (Dexter Ang) atas kesalahan berkaitan aktiviti pasaran modal tanpa lesen. 

Dexter sebelum ini telah disabitkan atas kesalahan pengubahan wang haram pada 28 Julai 2025.

Suruhanjaya Sekuriti (SC) berkata, Pixelvest, yang diwakili oleh Dexter, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana menjalankan perniagaan pengurusan dana tanpa lesen.
Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Shakirah Mohtarudin telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3 juta terhadap Pixelvest.

Dexter turut mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah seksyen 58(1) CMSA dalam kapasiti beliau sebagai pengarah Pixelvest. 

Beliau dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun, bermula dari tarikh penangkapannya pada 10 Januari 2024.

Pada 28 Julai 2025, Dexter mengaku bersalah atas lapan pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram di bawah seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Norma Ismail. 

Beliau dijatuhi hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan bermula dari tarikh penangkapan pada 10 Januari 2024. 

Mahkamah memerintahkan agar semua hukuman penjara tersebut dijalankan secara serentak.

Kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh Pixelvest dan Dexter berlaku di Kuala Lumpur dan Selangor antara Disember 2020 dan Januari 2023.

Dexter telah ditangkap dan didakwa oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 10 Januari 2024 atas kesalahan di bawah AMLATFPUAA dan seterusnya pada 26 Februari 2024 atas kesalahan di bawah CMSA. 

Pixelvest pula didakwa pada 10 Mei 2024. Kedua-duanya pada awalnya mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.

Pengurusan dana merupakan aktiviti yang dikawal selia dan mana-mana individu yang menjalankan perniagaan pengurusan dana perlu mempunyai lesen daripada SC di bawah CMSA. 

SC memandang serius terhadap aktiviti tanpa lesen dan terus komited dalam melindungi pelabur dengan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pihak yang melanggar undang-undang. – UTUSAN