PETALING JAYA: Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) memperkukuh komitmen dalam menyediakan pengalaman pelancongan berkualiti dengan pembukaan kafe berkonsep alam semula jadi, ThinkCup yang terletak di puncak Ripple Hills.
Pembukaan ThinkCup itu turut mendapat pengiktirafan Gold Award (Man-Made Tourism) yang diterima BMLR di bawah inisiatif Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Timbalan Ketua Pegawai Operasi M K Land, Nazri Tumin berkata, pengiktirafan MyTQA itu menjadi bukti kepada usaha berterusan BMLR mengekalkan standard kualiti perkhidmatan.
“Pembukaan ThinkCup ini adalah langkah seterusnya dalam meningkatkan lagi pengalaman tetamu dan pengunjung, sambil memelihara alam sekitar serta memberi nilai tambah kepada komuniti setempat.
“Inisiatif itu turut mencerminkan dedikasi BMLR dalam mendukung pelancongan mampan, seiring aspirasi MOTAC melalui MyTQA,” katanya dalam kenyataan.
ThinkCup menawarkan pemandangan Tasik Bukit Merah dari ketinggian 43 meter dari paras laut, dikelilingi kehijauan semula jadi yang mendamaikan, menjadikannya lokasi ideal untuk berehat sambil menikmati udara segar jauh dari hiruk-pikuk bandar.
Sebagai ruang inspirasi, kafe ini bukan sekadar tempat menjamu selera, tetapi juga lokasi untuk pengunjung meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan sahabat.
Selaras dengan usaha kelestarian BMLR, lebih 50 jenis pokok herba dan tumbuhan tempatan telah ditanam di sekitar ThinkCup bagi memperkayakan ekosistem dan membekalkan bahan segar untuk hidangan pada masa depan.
Menyentuh operasi semasa, Nazri berkata, paras air Tasik Bukit Merah yang menyusut akibat musim kemarau tidak menjejaskan operasi resort atau taman tema air.
“Taman tema air masih beroperasi seperti biasa dan kami mengalu-alukan kunjungan pengunjung sama ada untuk berseronok di taman tema atau berehat seketika sambil menikmati kopi di ThinkCup,” ujarnya.
Dengan pembukaan ini, BMLR terus komited menjadi destinasi pelancongan keluarga yang menggabungkan pengalaman bermakna dan kelestarian alam, sejajar aspirasi MyTQA meningkatkan mutu pelancongan negara. – UTUSAN