PAT Ramssol naik 44.1 peratus pada separuh pertama 2025

Perniagaan

PETALING JAYA: Ramssol Group Berhad (Ramssol) mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai (PAT) 44.1 peratus tahun ke tahun kepada RM12.18 juta separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, berbanding RM8.45 juta dalam tempoh sama tahun sebelum. 

Bagi tempoh itu, Ramssol merekodkan hasil sebanyak RM43.05 juta, meningkat 35.7 peratus berbanding RM31.73 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya. 

Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025, kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM24.93 juta, meningkat 44 peratus peratus berbanding RM17.31 juta dalam suku yang sama tahun lalu, manakala PAT turut meningkat 42.5 peratus tahun ke tahun kepada RM6.19 juta, berbanding RM4.34 juta dalam suku kedua tahun sebelum

Pertumbuhan itu didorong terutamanya oleh peningkatan jualan dalam penyelesaian Pengurusan Modal Insan (HCM) dan AI Cloud di Malaysia, Indonesia dan Thailand, selain sumbangan kukuh daripada khidmat perundingan transformasi digital, pemetaan proses perniagaan dan pengedaran lesen HCM. 

Peningkatan keuntungan pula disumbang oleh projek margin tinggi terpilih dan peningkatan aktiviti pengedaran lesen HCM.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Ramssol, Brian Liew berkata, tumpuan kumpulan dalam menyediakan penyelesaian modal insan dan teknologi kecerdasasn buatan (AI) yang bernilai tambah membolehkan mereka merebut peluang di Malaysia, Indonesia dan Thailand.

“Ini sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai rakan transformasi digital yang dipercayai.

“Kami amat berpuas hati dengan prestasi suku kedua dan separuh pertama tahun kewangan 2025, yang memperlihatkan kekuatan teras PeopleTech kami dalam memacu pertumbuhan bermakna. 

“Selain PeopleTech, kami turut memperkukuh inisiatif AutoTech kami. Sebuah syarikat tersenarai di Amerika Syarikat baru-baru ini melanggan saham baharu dalam Rider Gate, platform AutoTech kami, dengan pelaburan bernilai RM25 juta. 

“Urus niaga ini membolehkan kami menjana nilai daripada Rider Gate sambil mengekalkan pegangan ekuiti, sekali gus memperoleh semula pelaburan asal kami dan memperkukuh kedudukan modal untuk terus menyumbang kepada pertumbuhan platform tersebut,” katanya dalam kenyataan. 

Melengkapi perniagaan PeopleTech, beliau berkata, cabang AITech terus berkembang. 

“Pada suku ini, kami turut menjadi penganjur bersama Persidangan Pertukaran Kerjasama Teknologi dan Perdagangan Malaysia–China 2025 bersama Equinix dan Tencent Cloud, bagi mengukuhkan kerjasama dalam AI dan infrastruktur awan. 

“Anak syarikat kami, Infinite Loop Media, juga bekerjasama dengan Douyin untuk melancarkan Malaysia Pavilion, sebuah pasaran digital khusus bagi mempromosikan produk Malaysia kepada pengguna di China. 

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kami dalam memacu inovasi digital dan mencipta peluang rentas sempadan,” katanya. 

Melangkah ke hadapan, Ramssol akan terus memberi tumpuan kepada pertumbuhan dalam tiga teras utamanya iaitu PeopleTech, AutoTech dan AITech, dengan penekanan khusus terhadap penerapan inovasi digital untuk menjana nilai mampan kepada para pemegang kepentingan. – UTUSAN