JITRA: Jentera serangan Kedah Darul Aman (KDA) FC perlu lebih tajam jika mahu muncul antara pencabar utama Liga A1 Semi Pro musim ini.
Biarpun mengutip tiga mata penuh ketika menang 1-0 ke atas Machan FC, kelmarin, pengendali KDA FC, Azzmi Ab Aziz masih belum berpuas hati.
Bekas pengendali Negeri Sembilan FC itu berkata, beberapa aspek lain perlu dipertingkat menjelang perlawanan seterusnya, khususnya dari segi penguasaan bola.
“Kita nampak ada kelemahan yang kena baiki khususnya penguasaan bola, aspek pertahanan bagus, mereka bekerja keras di padang, cuma kita nak lihat lebih serangan selepas ini.
“Tetapi mereka masih muda, baru beraksi di peringkat ini dan ini proses pembelajaran yang baik. Saya yakin terhadap perkembangan positif pemain-pemain muda ini,” katanya.
Azzmi berkata, biarpun pasukan mendahului dengan jaringan awal ke atas Machan FC, cuaca panas memaksa mereka mengambil pendekatan bertahan pada separuh masa kedua.
“Kita pilih taktikal high pressing dan cuba mengawal bola di kawasan lawan. Alhamdulillah, disiplin bertahan menjadi kunci kejayaan kerana kita tahu lawan memiliki pemain yang mampu melakukan hantaran berkualiti,” ujarnya.
Beliau turut bersyukur dengan kejayaan KDA yang sebelum ini berdepan pelbagai kekangan termasuk persiapan pasukan yang serba mencabar.
“Kita faham bagaimana pasukan ini bermula dalam keadaan sukar, masa yang agak singkat dan pendaftaran pun dibuat pada saat-saat akhir. Namun, pemain-pemain muda ini telah membuktikan kemampuan mereka,” katanya.
Dalam masa sama, Azzmi merakamkan penghargaan terhadap kehadiran lebih 600 penyokong yang memenuhi stadium dan memberikan semangat luar biasa kepada pasukan.
“Kita tahu penyokong Kedah mempunyai semangat bola sepak yang kuat. Kita memang jangka mereka akan hadir dalam jumlah besar walaupun hanya beraksi dalam Liga A1 dan harap sokongan ini diteruskan untuk memberi motivasi kepada pemain,” katanya.
Dalam pada itu, pengendali Machan, Mohd. Shukri Ismail bangga dengan corak persembahan anak-anak buahnya yang mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol.
“Sebagai ketua jurulatih rasa bangga kerana pemain mengikut arahan, siapa yang tak mahu menang tetapi dengan sedikit kealpaan pada awal permainan lawan berjaya dapat gol, kita cuba kembali tetapi nasib tak menyebelahi,” katanya.- UTUSAN