Herry pacu kebangkitan Arif-Roy King

Sukan

PETALING JAYA: Keserasian bersama ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi membuka laluan buat Arif Junaidi-Yap Roy King mencipta sejarah dalam karier mereka menjuarai Terbuka Macau, kelmarin.

Sejak Februari lalu, pasangan muda itu mengharungi fasa penyesuaian dengan falsafah kejurulatihan Herry yang cukup tegas dan sistematik, sebelum mula menemui rentak sebenar dalam tempoh lima kejohanan terakhir.

Arif sendiri mengakui sukar untuk menyesuaikan diri pada awalnya kerana beberapa kejohanan awal menyaksikan mereka berentap sesama rakan sepelatih, sekali gus menyukarkan komunikasi bersama jurulatih di luar gelanggang.

“Baru lima kejohanan coach duduk belakang kami, baru dapat keserasian. Dari segi latihan pun, ambil masa beberapa bulan nak dapat balik rentak, dan saya harap lepas ni boleh terus dapat ditingkatkan lagi,” kata Arif.

Pada Julai lalu, pengarah kejurulatihan beregu negara, Rexy Mainaky mendedahkan Arif-Roy King sukar untuk mengadaptasi falsafah permainan yang cuba diterapkan oleh Herry mengakibatkan mereka hilang arah.

Mengulas kejayaan merangkul gelaran di Terbuka Macau, Arif mengakui fokus dia Roy King pada mulanya terganggu dengan permukaan gelanggang yang licin akibat titisan air daripada sistem penyaman udara.

Pada aksi final itu, perlawanan terpaksa dihentikan beberapa kali dan fokus pasangan negara itu terganggu terutama ketika melakukan servis dan pukulan penting ketika rali panjang.

“Saya mula-mula terganggu juga, tengah smash pun boleh rasa air jatuh atas kepala. Tetapi saya cakap pada diri, kalau saya tergelincir, koyak (cedera) ke apa ke, lawan pun boleh rasa benda sama.

“Saya cuma fokus satu persatu, sebab kalau saya fikir benda tu lama-lama pun, bukan boleh elak,” katanya.-UTUSAN