Kinoshi optimis anak buah mampu saingi JDT

Sukan

ISKANDAR PUTERI: Pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi tidak gentar berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan optimis anak buahnya mampu menyaingi kekuatan Harimau Selatan pada aksi Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

Bagaimanapun, Kinoshi mengakui kehebatan JDT yang mendominasi Liga Malaysia (Liga M) 11 tahun berturut-turut, selain pernah beberapa kali membolot semua kejuaraan dalam tempoh semusim.

Pengendali kelahiran Jepun itu juga mengakui kualiti yang dimiliki Harimau Selatan tidak boleh disanggah, namun dia enggan menyerah kalah sebelum perlawanan berlangsung.

“Kami akan beri kesukaran bagi mereka pada perlawanan itu, kehadiran beberapa muka baharu seperti Zach Clough, Picha Autra dan Kevin Deeromram diyakini mampu beri yang terbaik walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam Liga M.

“Ini kerana ketiga-tiga pemain ini berpengalaman dan saya tidak risau mengenai reputasi mereka. Mereka juga dapat membentuk keserasian yang baik dan mula mengadaptasi corak permainan yang ditekankan sepanjang tujuh minggu ini.

“Walaupun ada perlawanan pramusim yang kurang memberangsangkan, kami berjaya mengesan kelemahan yang perlu diperbaiki selain mempertingkat kekuatan sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan, semalam.

Kinoshi berkata, walaupun Selangor FC bukan pasukan pilihan untuk memenangi Piala Sultan Haji Ahmad Shah, dia percaya terhadap kemampuan pasukan untuk mencipta kejutan.

Katanya, Red Giants mungkin tampil dengan corak permainan yang lebih defensif dengan memperkuat bahagian tengah bagi memastikan pasukan tuan rumah tidak terlalu berleluasa mengawal permainan.

“Kita bukan hanya akan bertahan, sebaliknya cuba mencari ruang untuk mencipta gol. Oleh itu, penting bagi pasukan melakukan transisi pantas untuk membuat serangan.

“Justeru, pemain perlu memberi lebih daripada 100 peratus pada perlawanan tersebut, ia bukanlah semudah kata namun ini yang perlu dilakukan bagi mengekang JDT,” katanya.-UTUSAN