JDT kekal corak intensiti tinggi

Sukan

ISKANDAR PUTERI: Pengendali baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz memilih pendekatan berhati-hati dan enggan memandang rendah keupayaan Selangor FC dalam aksi Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu berharap keputusan positif dalam beberapa siri perlawanan pramusim di Sepanyol bulan lalu memberi suntikan semangat selain memperkukuhkan keserasian antara pemain lama dan muka baharu Harimau Selatan.

“Keputusan positif dalam aksi pramusim dilihat meningkatkan corak permainan sepasukan dan saya juga sudah mendapatkan gambaran kesebelasan utama yang akan diturunkan menentang Selangor.

“Malah kesemua 34 pemain yang ada dalam skuad Harimau Selatan turut bersedia untuk diturunkan dalam skuad utama, ini kelebihan yang ada bagi JDT, memiliki skuad yang besar.

“Bagi aksi pembukaan ini, mungkin permainan akan tidak stabil. Jadi, pemain perlu kawal emosi dan cuba meneruskan rentak permainan pada perlawanan pramusim bagi mempertahankan Piala Sumbangsih untuk kali kelapan berturut-turut,” katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan, semalam.

Munoz berkata, kehadiran beberapa pemain warisan seperti Jon Irazabal, Nacho Mendez, Joao Figueiredo dan Hector Hevel amat penting bagi menguatkan lagi barisan JDT menjelang perlawanan pertama Liga Super musim 2025-2026.

Sebagai persiapan, dia turut mengkaji skuad kendalian Katsuhito Kinoshi dan merangka strategi ampuh untuk mengekang Red Giants pada perlawanan tersebut.

Dalam masa sama, Munoz tenggan mendedahkan formasi permainan yang akan digunakan, sama ada bermain secara ofensif atau sebaliknya.

“Yang pastinya, saya akan mengekalkan falsafah JDT dengan corak permainan berintensiti tinggi dan akan memberi tekanan kepada pasukan lawan sepanjang perlawanan.

“Sebagai seteru utama, kami menghormati Selangor dan akan memberi tentangan habis-habisan bagi memperoleh kemenangan,” katanya.-UTUSAN