Risiko cip semikonduktor Malaysia terhadap tarif AS lebih rendah

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka kurang terdedah kepada cadangan tarif 100 peratus Amerika Syarikat (AS) terhadap cip semikonduktor memandangkan majoriti eksport cip negara ini melibatkan syarikat berpangkalan di AS yang berkemungkinan besar dikecualikan daripada langkah itu.

Ketua Penyelidikan CGS-CIMB Securities Sdn. Bhd., Jeremy Goh berkata, kira-kira dua pertiga pengeluaran semikonduktor Malaysia disumbangkan oleh syarikat dari AS.

“Saya juga percaya terdapat kebarangkalian kukuh bahawa syarikat-syarikat ini akan komited untuk meluaskan operasi di AS bagi mengelak dikenakan tarif semikonduktor ini.

“Situasi ini masih berkembang, tetapi saya tidak fikir ia seteruk atau seberat mana yang digambarkan oleh angka tarif 100 peratus itu,” katanya semasa sesi panel Tinjauan Ekonomi dan Pasaran pada Persidangan Invest Shariah 2025, semalam.

Menurutnya, walaupun cadangan tarif tersebut menimbulkan kebimbangan, kesan sebenar mungkin tidak seteruk seperti digambarkan, terutamanya apabila mengambil kira kriteria pengecualian yang dinyatakan oleh Presiden AS, Donald Trump.

Trump menyatakan AS akan mengenakan tarif sekitar 100 peratus ke atas cip semikonduktor yang diimport dari negara-negara yang tidak menghasilkan atau tidak merancang untuk menghasilkan cip di AS.

Bagaimanapun, beliau berkata, kadar tarif baharu itu tidak akan terpakai kepada syarikat yang telah membuat komitmen untuk menjalankan pembuatan di AS atau sedang dalam proses berbuat demikian.

“Berdasarkan kenyataan Trump, beliau menyebut bahawa jika semikonduktor datang dari syarikat AS atau syarikat berpangkalan di AS yang telah membuat komitmen untuk mengembangkan operasi di AS, maka mereka akan dikecualikan,” ujarnya. 

Jeremy berkata, pendedahan pasaran langsung Malaysia kepada AS adalah minimum walaupun negara itu merupakan destinasi eksport utama.

“Sebanyak 30 peratus daripada eksport Malaysia pergi ke AS, menjadikannya destinasi eksport kedua terbesar kita, tetapi dari sudut pasaran saham, pendedahan itu jauh lebih rendah.

“Kami dapati dalam skop liputan kami, hanya 2.4 peratus daripada hasil agregat syarikat datang dari AS.

“Bagi indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), indeks utama 30 saham teratas, hanya sekitar 0.5 peratus daripada hasilnya berasal dari AS.

“Jadi, pendedahan langsung pasaran saham kita terhadap AS adalah jauh lebih kecil berbanding pendedahan ekonomi keseluruhan. Ini adalah satu lagi bentuk ‘perlindungan risiko’ yang kita ada,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha berterusan kerajaan untuk mendapatkan penjelasan daripada Wakil Perdagangan AS (USTR) juga membantu mengekalkan prospek yang terkawal.

Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, Malaysia telah meminta penjelasan daripada AS berhubung cadangan tarif 100 peratus ke atas cip semikonduktor yang diimport, dengan memberi amaran bahawa langkah itu boleh menjejaskan salah satu sektor eksport paling kritikal negara.

Menurutnya, kerajaan telah menghubungi USTR dan Jabatan Perdagangan AS pagi, Khamis bagi mendapatkan kenyataan rasmi berhubung perkara berkenaan.

Bagaimanapun, Ketua Ekonomi CGS International Securities Malaysia, Nazmi Idrus berkata, Malaysia dijangka terus berada di pihak yang rugi sekiranya bekas Presiden AS, Donald Trump, melaksanakan cadangan mengenakan tarif sehingga 100 peratus terhadap semikonduktor.

“Ini kerana hampir separuh daripada produk semikonduktor Malaysia dieksport ke AS, sekali gus menjadikan ekonomi negara terdedah kepada dasar perdagangan proteksionis yang dicadangkan tokoh Republikan itu.

“Langkah ini sudah pasti akan memberi impak ketara kepada ekonomi Malaysia memandangkan tahap kebergantungan kita terhadap produk dan pasaran AS masih tinggi,” katanya.

Mengulas prospek perdagangan global, beliau menjangkakan landskap perdagangan antarabangsa akan menjadi lebih berpecah dan tidak seimbang sekiranya perang tarif kembali memuncak.

“Rantaian bekalan global juga berkemungkinan mengalami perubahan besar, dan ini secara relatifnya bakal menguntungkan AS berbanding negara lain. 

“Ketika ini kadar tarif yang dikenakan terhadap produk AS di banyak negara masih rendah, sekali gus memberikan kelebihan kepada barangan dari negara itu.

“Justeru, ada kemungkinan besar lebih banyak negara akan meningkatkan import dari AS dan pada masa sama mengurangkan kebergantungan kepada rakan dagang tradisi mereka,” jelasnya. – UTUSAN