PETALING JAYA: NexG Berhad (NexG) memperoleh sebanyak 32.61 peratus pegangan dan 414.31 juta waran dalam Classita Holdings Berhad (Classita) bernilai RM76.78 juta, sebagai sebahagian strategi kumpulan untuk menyertai sektor pembangunan hartanah dan pembinaan.
Langkah tersebut menjadikan NexG sebagai pemegang saham tunggal terbesar dalam Classita, yang merupakan kontraktor bertauliah Gred G7 CIDB.
Classita dalam masa sama turut mengusulkan pertukaran nama kepada NexG Bina Berhad, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham, selari dengan fokus baharu syarikat terhadap projek infrastruktur sektor awam dan perumahan mampu milik.
Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif NexG, Datuk Hanifah Noordin berkata, langkah tersebut sejajar dengan aspirasi NexG untuk menyumbang secara langsung kepada pembangunan negara di bawah kerangka Ekonomi Madani.
“Memasuki sektor hartanah dan pembinaan adalah strategi yang tepat pada masanya bagi NexG, dengan matlamat menyokong agenda nasional melalui penyertaan dalam projek kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Antara projek utama yang disasarkan ialah sistem Mass Rapid Transit 3 (MRT3) menerusi kerjasama Classita bersama Lion Pacific Sdn. Bhd., yang bakal membabitkan pelaksanaan pakej kerja SY303 meliputi pembekalan dan pentauliahan sistem kereta api elektrik serta sistem sokongan.
Syarikat itu juga merancang melaksanakan projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) di tanah miliknya di Ulu Kelang.
“Classita terus menunjukkan kekuatan kewangan, kecairan mencukupi dan keupayaan untuk melaksanakan projek berskala besar,” tambahnya.
Menurutnya, pelaburan dalam Classita dibuat selaras dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menyasarkan pembinaan sejuta rumah mampu milik baharu bagi tempoh 2026 hingga 2035.
“Classita turut memiliki tanah pembangunan strategik di Ulu Kelang, Bentong, Tapah dan Kinta yang dijangka membuka peluang kemasukan segera kepada NexG dalam projek pembangunan perumahan dan komersial,” katanya.
Mengulas lanjut, Hanifah berkata, setakat 31 Mac tahun ini, Classita mencatatkan rizab tunai sebanyak RM74.5 juta dengan aset bersih RM190.9 juta dan nisbah penggearan rendah iaitu 0.03.
“Selain pegangan ekuiti, kami juga memperoleh sejumlah besar Waran C Classita yang memberikan fleksibiliti untuk meningkatkan pegangan pada masa depan.
“Gabungan kekuatan modal, tadbir urus dan jaringan NexG bersama kapasiti institusi Classita dijangka memacu pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur dan perumahan negara secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN