PETALING JAYA: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan denda RM9 juta oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan penipuan terbitan dan satu pertuduhan aktiviti tidak berlesen berkaitan skim pelaburan minyak sawit mentah niaga hadapan (FCPO) yang tidak wujud.
Menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam kenyataan berkata, tertuduh, Mohd Azhidi Laili, melakukan kesalahan itu antara Mei 2013 hingga Mac 2014 di Kuala Lumpur dengan membuat representasi palsu sebagai pedagang niaga hadapan di bawah syarikat AmFutures Sdn. Bhd.
Hakim Hamidah Mohamed Deril menjatuhkan hukuman dua tahun penjara dan denda RM1 juta bagi setiap daripada sembilan pertuduhan di bawah Seksyen 206(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh akan dipenjara tambahan tiga bulan bagi setiap pertuduhan.
Jika gagal membayar semua denda, Mohd Azhidi berdepan hukuman penjara tambahan selama 27 bulan selepas tamat hukuman penjara utama.
Selain itu, Mohd Azhidi turut dijatuhi hukuman penjara dua tahun bagi satu pertuduhan di bawah Seksyen 59(1) CMSA kerana membuat representasi sebagai wakil AmFutures Sdn. Bhd. tanpa lesen atau pendaftaran untuk berurusan dalam derivatif.
Hukuman ini dijalankan serentak dengan hukuman bagi kesalahan utama.
Menurut fakta kes, Mohd Azhidi memperdaya sembilan mangsa melibatkan jumlah kerugian RM1.45 juta.
“Skim pelaburan FCPO yang ditawarkan kononnya dijalankan di bawah AmFutures Sdn. Bhd., namun sebenarnya tidak wujud.
“Mohd Azhidi pada awalnya mengaku tidak bersalah selepas didakwa pada 14 Februari 2022, dua hari selepas penahanannya dan dibebaskan dengan ikat jamin RM250,000 bersama dua penjamin. Mahkamah turut memerintahkannya menyerahkan pasport serta melapor kepada pegawai penyiasat SC setiap bulan.
“Perbicaraan yang bermula Februari 2023 sehingga Mac 2025 menyaksikan 28 saksi pendakwaan, termasuk tujuh mangsa, tampil memberi keterangan.
“Bagaimanapun, pada Mei 2024, mahkamah membatalkan jaminan selepas tertuduh gagal hadir pada dua sebutan kes dan tidak membuat laporan bulanan seperti diarahkan. Hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh jaminan dibatalkan,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SC, Mohd Izuddin Mohamad bersama Quek Yiing Huey, Raihana Nadhira Rafidi, Eunice Ong Jo Xing dan Mark Rohan Mahadevan, manakala Azhidi diwakili peguam Al-Sabri Haji Ahmad Kabri. – UTUSAN