Mini JCW Aceman: tak kecil, tak besar

Perniagaan

Mini secara dominannya mempunyai dua model yang popular, Cooper dan Countryman.

Cooper ialah Mini yang kita kenali, jentera dua pintu yang sporti dan bergaya. Pemanduannya agresif, masih dengan pengendalian ala go-kart tetapi penuh dengan penggayaan retro yang menarik minat pembeli yang mahukan sesuatu yang “trendy” dan “up-to-date”.

Jika anda seorang yang tidak mahukan perhatian, Mini Cooper bukanlah jawapannya.

Kemudian kita ada Countryman, sebuah SUV yang sebenarnya hampir sama besar dengan Toyota Corolla Cross atau Honda H-RV. Jika Cooper lebih ke arah anak gadis ranggi, Countryman lebih kepada ciri-ciri ibu muda beranak dua yang bergaya.

Jadi apa ada di tengah-tengah?

Mini Aceman, dan jika si suami mahukan sesuatu yang lebih jantan, Mini JCW Aceman yang ada hari ini.

JCW, atau John Cooper Works ialah versi agresif untuk model-model dari Mini. Ia sama seperti varian M untuk BMW atau AMG untuk Mercedes-Benz dan untuk memastikan ia berbeza, logo JCW serta aksesori dan warna yang agresif dibekalkan.

Model JCW juga diberi suntikan tenaga dan pengendalian yang sesuai dengan karektor JCW.

Untuk JCW Aceman, gril, skirting sisi dan “wheel arch” menggunakan warna hitam berkilat sementara warna merah pula untuk bumbung, cermin sisi, angkup brek dan garisan atas hud enjin.

JCW Aceman juga menerima satu set roda aloi JCW Lap Spoke bersaiz 19-inci, seinci lebih besar dari varian untuk JCW Cooper.

Memang nampak ganas.

Ruang kabin juga sama, ditaburi dengan kelengkapan khusus untuk JCW sahaja. Tempat duduk sport dibalut dengan kulit sintetik dan fabrik bersulam merah, dengan fungsi urutan sekali!

Papan pemuka dengan balutan fabrik juga menggunakan warna-warna merah hitam, dan bila malam, permainan lampu menjadikan kabin Mini ini cukup mengujakan. Bumbung panoramik juga siap dengan lampu LED di sekelilingnya.

Skrin sesentuh bulat yang besar ditengah mengekalkan tradisi Mini, dan ia boleh menggunakan aplikasi Apple CarPlay atau Android Auto. Sistem audio Harman Kardon.

Dari segi trenkuasa, Aceman memang dibina khusus untuk eletrik sahaja. Untuk JCW Aceman, ia menggunakan bateri bersaiz 49.2 kWh dengan satu motor elektrik pada gandar hadapan, menghasilkan 258PS dan 350 Nm bagi menjanjikan halaju maksimum 200 kmsj dan pecutan 0-100 kmsj dalam masa 6.4 saat.

Pengecas terbina pula ialah 11 Kw untuk AC dan 95 kW untuk DC sementara jarak gerak ialah 355 km (WLTP).

Aceman dari segi zahirnya ialah sebuah SUV tetapi batinnya ialah sebuah jentera kompak yang mahu dipandu laju. Penulis membawa JCW Aceman ini untuk berjimba di laluan berliku di kawasan Jelebu dan mendapati walaupun ia memang menggigit setiap selekoh umpama go-kart yang besar, sistem gantungan adalah sedikit lembut untuk bahagian hadapan.

Ini menghasilkan efek “understeer” bila selekoh diserang dengan kelajuan melampau. Tidak seperti JCW Cooper versi enjin petrol, semua JCW elektrik tidak menerima sistem gantungan adaptif.

Tukaran mod pemanduan pula hanya menjadikan stereng JCW Aceman ini terasa lebih padat dan berat, tidak ada efek kepada sistem gantungan.

Solusi terbaik ialah menggunakan teknik “left-foot braking” di mana kaki kanan masih mengawal pendikit sambil kaki kiri memasukkan input yang sepatutnya pada brek. Ini membantu mengurangkan efek “understeer”, menjadikan ia lebih laju di selekoh.

Sayangnya, teknik pemanduan begini akan menyebabkan pad brek haus lebih awal.

Keselesaan masih wujud, walaupun tidak seperti kenderaan biasa kerana semua Mini akan mempunyai sistem gantungan yang sedikit keras.

Ruang penumpang belakang boleh memuatkan dua penumpang dewasa dan ruang but sebesar 300 liter itu cukup untuk keluarga kecil. Jika tidak, “keranda di bumbung” adalah solusi terbaik.

JCW Aceman juga cantik dan walaupun ia dipandu oleh seorang warga emas sekalipun, keseronokan dan rasa istimewa itu tetap wujud.

Mini masih mempunyai sentuhan ajaib yang didambakan oleh kesemua syarikat automotif China kerana mereka masih tidak mempunyai kekuatan jenama untuk melakukan apa yang dilakukan oleh Mini.

Rekabentuk bertemakan Mini menjadi ikutan kerana rekaan ini juga ditiru oleh industri fesyen dan pelbagai lagi.

Sayang sekali kerana JCW Aceman ini masih tidak sempurna.

Secara keseluruhan, jentera EV sporti ialah satu kenderaan yang serba salah. Ia seronok dipandu dan anda akan memandu dengan gaya yang lebih agresif, tetapi cara pemanduan itu akan menyebabkan penggunaan tenaga elektrik yang tinggi serta menurunkan jarak gerak.

Laluan-laluan berliku yang seronok pula tidak ada di dalam bandar, tetapi jauh di kawsan pendalaman di mana stesen pengecas jarang didapati.

Ini bermakna untuk EV yang sporti, kebanyakan masa anda akan merempit di dalam kawasan urban, menjadikan anda nampak sedikit “poyo” dan kebudak-budakan.

Cuma, bila sekali terkena gigitan JCW, sukar untuk dilepaskan.

Mungkin Mini JCW Cooper dengan enjin petrol turbo 2.0 liter menjadi alternatif tetapi ia tidak menerima insentif EV, bermakna harganya sudah menjadi RM331,000 (dengan pakej servis tambahan untuk empat tahun).

Harga kekal menjadi tarikan utama EV dan JCW Aceman dengan harga RM241,188 (termasuk pakej servis tambahan untuk empat tahun) ini cukup untuk membuatkan anda tidak tidur malam!

Spesifikasi

Mini JCW Aceman
Bateri: 49.2 kWh
Kuasa maksimum: 258PS
Daya kilas maksimum: 350 Nm
Halaju maksimum: 200 kmsj
Pecutan 0-100 kmsj: 6.4 saat
Harga: RM241,188 termasuk pakej servis 4-tahun
Waranti: 4 tahun tanpa had perbatuan untuk kenderaan; 8-tahun/160,000 km untuk bateri  – UTUSAN