PETALING JAYA: Langkah Amerika Syarikat (AS) mahu mengenakan tarif 100 peratus ke atas cip import dijangka boleh melemahkan permintaan produk semikonduktor global, menurut TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, ancaman Presiden, Donald Trump itu yang sebenarnya melindungi kepentingan ekonomi negara berkenaan, turut boleh menjejaskan sektor semikonduktor di Malaysia.
Katanya, tarif penuh itu berisiko meningkatkan kos pengeluaran, dengan sebahagian daripadanya mungkin diserapkan kepada pengguna, dan akhirnya mengakibatkan harga produk menjadi lebih mahal.
“Ini menyebabkan permintaan import semikonduktor di AS menjadi rendah dan kami berasa, sebarang potensi tarif boleh mengganggu ketara rantaian bekalan global,” katanya dalam satu nota.
Tambahnya, industri semikonduktor sendiri bersifat sangat global kerana segala aktiviti dalam reka bentuk, fabrikasi, ujian dan pembungkusan secara kebiasaannya memang dilaksanakan di beberapa negara.
Baru-baru ini, Trump mengumumkan pengenaan tarif 100 peratus ke atas sebarang cip semikonduktor yang diimport kecuali kepada syarikat-syarikat yang komited melakukan pembuatan produk itu di AS.
Mengulas lanjut, TA Securities berpandangan, pemimpin AS tersebut mungkin menunggu hasil siasatan Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick sebelum memuktamadkan kadar tarif dan rangka kerja.
“Sebenarnya amat sukar bagi AS menghantar pulang sepenuhnya rantaian nilai semikonduktor dalam jangka masa terdekat, kerana membina ekosistem sara diri mengambil masa beberapa dekad,” katanya.
Menurutnya, AS akan mengumumkan hasil penemuan siasatan isu import semikonduktor itu bagi menilai potensi risiko yang mungkin ditimbulkan oleh produk tersebut kepada keselamatan negara berkenaan.
Secara keseluruhan, TA Securities percaya, banyak pengecualian bersyarat diumumkan dari semasa ke semasa, memandangkan kerumitan dan sifat saling bergantung rantaian bekalan semikonduktor global.
Berdasarkan perkembangan risiko polisi AS yang tidak menentu dan kelemahan nilai mata wang dolar berbanding ringgit, firma berkenaan memberi penarafan ‘neutral’ ke atas sektor semikonduktor.
“Kami kekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham Unisem (M) Berhad, manakala ‘pegang’ kepada Malaysia Pacific Industries Berhad dan ‘jual’ untuk Inari Amertro Berhad,” katanya.-UTUSAN