DRB-HICOM ambil alih Spirit MY pada RM403j

Perniagaan

PETALING JAYA: DRB-HICOM Berhad memeterai perjanjian pembelian saham bersyarat dengan Spirit AeroSystems, Inc. dan Spirit AeroSystems International Holdings, Inc. untuk cadangan pengambilalihan Spirit AeroSystems Malaysia Sdn. Bhd. (Spirit MY) bernilai AS$95.2 juta (RM403 juta)

Pengambilalihan tersebut dibuat melalui anak syarikat milik penuhnya, Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM) dan urus niaga tertakluk kepada semua kelulusan dan syarat yang berkaitan dipenuhi.

CTRM diiktiraf sebagai pembekal utama komposit aeroangkasa termaju, yang mengkhusus dalam pembangunan dan pengeluaran sub-pemasangan komposit untuk industri aeroangkasa global.

DRB-HICOM berkata, cadangan pengambilalihan mewakili peluang strategik untuk meningkatkan lagi kedudukan daya saing CTRM dalam industri aeroangkasa dengan meningkatkan kepakaran aerostrukturnya.

Katanya, ini akan menyumbang ke arah peningkatan skala, kecekapan dan pertumbuhan dalam pelbagai bidang yang akan meningkatkan kehadiran CTRM dalam program aeroangkasa utama dan memperdalam hubungannya dengan pengeluar peralatan tulen (OEM) global.

Jelasnya, ini sekali gus memperluaskan hubungan CTRM dengan Airbus untuk program A220, A320 dan A350 mereka serta kepada Boeing pada program 737 dan 787.

“Pada masa yang sama, CTRM akan meningkatkan kehadirannya merentasi rantaian bekalan dan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk daya saing jangka panjang dan pertumbuhan yang mampan dalam pasaran aeroangkasa yang semakin mencabar dan dinamik.

“Dalam pada itu, pengambilalihan ini adalah selaras dan menyokong usaha berterusan untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab aeroangkasa serantau di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Tindakan Aeroangkasa Malaysia 2030 serta strategi untuk mempromosikan pemilikan aset strategik Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

DRB-HICOM berkata, kepakaran teras CTRM terletak dalam membangunkan dan menghasilkan komponen komposit pesawat, mereka bentuk, membangun dan mengeluarkan komponen komposit untuk aeroangkasa serta aplikasi bukan aeroangkasa.

Menurutnya, CTRM juga menawarkan pelbagai perkhidmatan sokongan seperti kemudahan makmal ujian, kejuruteraan komposit dan perkhidmatan pengurusan pembekal. 

“Spirit MY ialah perniagaan kejuruteraan dan pembuatan bertaraf dunia yang terletak di Subang, Selangor dan beroperasi sebagai pembekal kepada OEM global dalam industri aeroangkasa.

“Ia terutamanya terlibat dalam pengeluaran aerostruktur teknologi canggih serta penyediaan perkhidmatan sampingan kepada syarikat berkaitannya,” ujarnya.

Syarikat itu membekalkan komponen utama dan pemasangan lain untuk program  marquee Airbus dan Boeing termasuk A220, A320/A321, A350, B737 dan B787.

Selain kepakaran komposit aeroangkasa dan pemasangan logamnya, Spirit MY juga menyediakan perkhidmatan kejuruteraan, perkhidmatan pengurusan rantaian bekalan dan perkhidmatan kongsi. – UTUSAN