sewa ruang kecil undang risiko

Perniagaan

TINDAKAN menyewakan ruang kecil seperti balkoni, dapur atau ruang tamu yang dipasang pembahagi dinding (partition) sebagai bilik sewa semakin berleluasa, terutama di kawasan bandar utama seperti Kuala Lumpur dan Selangor.

Situasi ini bukan sahaja menimbulkan persoalan keselamatan dan keselesaan, malah turut mencetuskan isu berkaitan kesahihan pengubahsuaian tersebut dari sudut undang-undang.

Malah, Kementerian Perumahan dan  Kerajaan Tempatan (KPKT) sebelum ini turut mengeluarkan amaran keras kepada pemilik rumah atau premis yang melakukan ubah suai melampau dengan menyediakan bilik sewa bersaiz sempit dan kecil yang boleh dikatakan seakan ‘liang lahad’ atau ‘sangkar burung’. 

KPKT menyifatkan tindakan itu sebagai tidak berperikemanusiaan dan bercanggah dengan peraturan bangunan serta piawaian keselamatan perumahan.

 

Peguam hartanah, Intan Nadhirah Idayu Ishak berkata, pemilik rumah yang membuat pengubahsuaian struktur dalaman tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang kecil bangunan dan perumahan.

“Sebarang pengubahsuaian yang melibatkan struktur kekal, termasuk memasang partition tetap, memerlukan kelulusan. Jika ia melanggar pelan bangunan asal atau melebihi syarat nyata dalam geran, ia boleh dianggap menyalahi undang-undang

“Antara contoh bahan partition yang kerap digunakan ialah papan lapis yang mudah untuk api merebak dan panel PVC yang berpotensi menghasilkan asap toksik sekiranya berlaku kebakaran, sekali gus mengancam keselamatan penyewa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, tindakan sedemikian boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 79 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), yang memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh mendirikan, mengubah atau menambah sesuatu bangunan tanpa kebenaran bertulis pihak berkuasa tempatan.

“Jika pemilik gagal mendapatkan kebenaran, PBT berhak mengeluarkan notis perobohan atau pengubahsuaian semula kepada struktur asal. Malah, tindakan undang-undang juga boleh diambil,” jelasnya.

Tambahnya, penggunaan ruang kecil berhampiran balkoni sebagai ruang sewaan juga bercanggah dengan fungsi asal reka bentuk bangunan, selain berisiko tinggi dari sudut keselamatan.

“Ruang itu tidak dibina untuk menampung berat perabot atau penginapan manusia. Jika berlaku insiden seperti lantai runtuh atau kebakaran, pemilik boleh dipertanggungjawabkan.” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pembahagian rumah kepada terlalu banyak ruang kecil boleh mengakibatkan kesesakan dan menghalang pengudaraan yang baik dalam unit tersebut.

“Bila terlalu ramai, ini boleh menyebabkan kesesakan dan menghalang sistem pengudaraan yang baik dalam rumah tersebut,” katanya.

Menurut Intan, terdapat kes sebelum ini melibatkan rumah kedai (shoplot) di ibu negara yang diubah suai sehingga menjadi 14 hingga 20 bilik kecil dan disewakan, malah pernah dilaporkan media sebagai bilik ‘slot’ atau ‘sangkar’ yang melampau dari segi kapasiti dan keselamatan.

“Benda tu dah melebihi bilangan orang yang sepatutnya duduk dalam ruang tersebut. Ini sudah melanggar sisi undang-undang,” katanya.

Mengulas dalam konteks hartanah strata pula, Intan berkata, pengubahsuaian seperti ini turut melanggar peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyelenggaraan dan Pengurusan) 2015.

“Bahagian 7 Seksyen 27 menyatakan bahawa pemilik tidak boleh melakukan apa-apa kerja pengubahsuaian tanpa kelulusan bertulis terdahulu daripada Perbadanan Pengurusan dan jika perlu, pihak berkuasa tempatan.

“Ini termasuk tindakan membina partition dalam ruang kediaman strata mereka,” katanya.

Menurutnya lagi, meskipun terdapat akta umum seperti Akta Kontrak 1950 atau undang-undang sivil berhubung perjanjian sewaan antara pemilik dan penyewa, peruntukan sedia ada masih bersifat umum dan tidak begitu komprehensif dalam melindungi hak penyewa.

“Akta-akta ni bersifat umum dan tak cukup komprehensif untuk mengawal isu sewaan kecil ekstrem ini,” katanya.

Bagi penyewa pula, mereka berhak membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) atau melaporkan kepada pihak berkuasa jika tempat tinggal didapati tidak selamat atau tidak menepati kontrak yang dipersetujui.

“Sewa balkoni pada harga bilik tetapi tiada privasi, tiada kemudahan asas, itu sudah boleh dipersoalkan dari segi keadilan kontrak dan perlindungan pengguna,” tambahnya.

Justeru, Intan Nadhirah menasihatkan agar pihak berkuasa memperketat penguatkuasaan terhadap pemilik rumah yang mengejar keuntungan tanpa mematuhi aspek undang-undang dan keselamatan.

Manakala bagi penyewa pula, mereka perlu lebih peka terhadap hak masing-masing agar tidak terus menjadi mangsa eksploitasi pemilik hartanah.-UTUSAN