PETALING JAYA: Ketua Jurulatih Olahraga Kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil menutup pintu spekulasi bahawa pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mengalami kecederaan ketika meraih emas di Terbuka India 2025, semalam.
Menurutnya, tindakan Azeem memegang pangkal paha sejurus menamatkan larian bukan petanda dia berdepan masalah fizikal, sebaliknya sekadar kebiasaan atlet selepas beraksi.
“Untuk Azeem selepas garisan penamat itu dia pegang peha tidak ada apa-apa, tidak ada kecederaan. Azeem seperti biasa, safe and sound, tiada masalah.
“Dia pegang (peha) itu mungkin kebiasaan dia untuk memegang peha selepas berlari. Itu kadang-kadang berlaku pada atlet-atlet juga, ada yang pegang peha, pegang kaki, normal. Azeem tidak ada kecederaan,” kata Manshahar kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, spekulasi mengenai kecederaan pelari kelahiran Teluk Intan, Perak itu tercetus apabila kelihatan bergelut dengan kecederaan selepas melintasi garisan akhir apabila dia memegang kawasan pangkal paha.
Pelari berusia 21 tahun itu menamatkan larian dengan gembira sebelum kelihatan terenjut-enjut dan menahan kesakitan tersemat di riak wajahnya.
Bagaimanapun, Azeem sebelum itu mencatatkan masa 10.35 saat untuk mengungguli acara 100 meter (m) di Stadium Kalinga, Odisha, menewaskan pelari Sri Lanka, Chamod Yodhasinghe (10.43s) dan rakan sepasukan, Danish Iftikhar Muhammad Roslee (10.50s).
Kemenangan tersebut menambah keyakinan terhadap prestasinya selepas kecewa di Sukan Universiti Dunia (WUG) Julai lalu terlepas podium pada 100m serta gagal ke final 200m. – UTUSAN