PETALING JAYA: Citaglobal Berhad (Citaglobal) menembusi sektor hidroelektrik Malaysia dengan pengambilalihan kepentingan majoriti dalam dua projek hidroelektrik di Perak bernilai RM15 juta.
Menurut kenyataannya, langkah ini mempelbagaikan portfolio tenaga boleh baharunya dan menunjukkan komitmen syarikat terhadap visi Malaysia untuk ekonomi rendah karbon melalui reformasi struktur tenaga dan peningkatan penggunaan tenaga boleh baharu.
Pengambilalihan tersebut dibuat melalui anak syarikat milik penuhnya, Citaglobal Renewable Energy Sdn. Bhd., melibatkan pemerolehan 70 peratus kepentingan ekuiti dalam Zeqna Corporation Sdn Bhd (Zeqna) pada harga RM15 juta.
Turut diambil alih adalah 70 peratus kepentingan ekuiti dalam Koridor Mentari Sdn. Bhd. (Koridor Mentari) pada harga RM1, tertakluk kepada penyempurnaan pengambilalihan Zeqna.
Citaglobal berkata, pengambilalihan strategik ini meletakkan Citaglobal untuk meraih perolehan tenaga boleh baharu secara langsung daripada Loji Hidroelektrik Slim, sebuah aset hidroelektrik brownfield yang terbukti di Slim, Perak.
Sementara itu, katanya, projek Loji Hidroelektrik Kampar dengan semua kelulusan peringkat negeri telah diperoleh bersedia untuk menjana pulangan yang kukuh dalam jangka masa yang lebih pantas.
“Secara bersama, projek-projek ini akan meningkatkan asas perolehan berulang kumpulan dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam peralihan tenaga bersih Malaysia.
“Kedua-dua aset hidroelektrik ini diunjurkan untuk menjana sehingga RM19 juta dalam perolehan tahunan berulang di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga Boleh Baharu (REPPA) jangka panjang dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB), yang akan menampung asas pendapatan Citaglobal jauh ke masa hadapan,” katanya.
Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria berkata, Loji Hidroelektrik Slim akan menyediakan Kumpulan dengan sumber pendapatan berulang yang segera, manakala Loji Hidroelektrik Kampar yang mendapat manfaat daripada kapasiti dan tarif yang baru diluluskan, menjanjikan nilai jangka panjang yang luar biasa.
“Bersama-sama, ia menyediakan platform yang seimbang untuk mengembangkan portfolio tenaga bersih kami yang merangkumi projek-projek solar, sisa-ke-tenaga, dan simpanan tenaga bateri.
“Perak merupakan hab tenaga boleh baharu yang sedang pesat membangun dan menjadi landasan pelancaran yang ideal untuk usaha kami dalam sektor hidroelektrik,” ujarnya. – UTUSAN