PETALING JAYA: Aksi pembuka tirai Liga Super 2025/26 berlangsung ‘bersih’ dan lancar apabila tiada sebarang kontroversi pengadilan dilaporkan.
Sumber rapat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa tiada sebarang laporan diterima badan induk bola sepak negara itu berkaitan mutu pengadilan pada perlawanan minggu pertama musim baharu itu.
Jelasnya, wakil setiap pasukan mempunyai hak untuk membuat laporan rasmi kepada FAM sekiranya terdapat mutu pengadilan yang dilihat bermasalah, namun setakat ini tiada aduan direkodkan.
“Tiada sebarang laporan berkenaan isu pengadil bagi perlawanan minggu pertama. Semua pasukan ada hak untuk membuat laporan rasmi kepada FAM,” katanya ringkas kepada Utusan Malaysia, semalam.
Terdahulu, Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram mengakui pihaknya mengharapkan prestasi lebih cemerlang dapat ditampilkan barisan pengadil musim ini selepas meraih markah cemerlang pada musim lalu.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM bagaimanapun menjelaskan semua pihak juga harus faham bahawa pengadil juga manusia biasa dan tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan.
“Kalau ikut harapan, saya cakap (mahu) sifar isu. Jadi harap kita boleh dapat sifar isu musim akan datang. Bukan sasaran, kita harap. Kita boleh cakap sifar isu, tapi kita kena faham bahawa pengadil pun manusia,” ujarnya.
Untuk rekod, ketepatan keputusan pengadil di padang bagi musim lalu bertambah baik dengan kadar 98.07 peratus berbanding musim 2023-2024 dengan kadar 88.76 peratus.
Penggunaan video bantuan pengadil (VAR) pada musim lalu menampakkan satu trend yang amat baik berdasarkan jumlah aduan dan ketepatan keputusan pengadil yang mana purata masa tambahan daripada VAR adalah lebih rendah iaitu 1.96 minit jika dibandingkan dengan purata masa tambahan daripada pengadil di padang permainan iaitu 4.70 minit.
Analisa data juga menunjukkan musim lalu sebanyak 647 gol dijaringkan yang mana semua gol itu sudah disemak oleh pengadil VAR sebelum disahkan dan sebanyak 64 gol dijaringkan melalui sepakan penalti dan ia disemak oleh Pengadil VAR sebelum disahkan penalti.
Jumlah aduan pada musim 2024-2025 berkurangan pada 2.24 peratus berbanding dengan 4.15 peratus pada musim 2023-2024. – UTUSAN