Nuna, BMW lancar koleksi stroller reka bentuk eksklusif

Perniagaan

PETALING JAYA: Nuna, peneraju global dalam inovasi kelengkapan bayi premium dan BMW, jenama automotif ikonik menjalinkan kerjasama reka bentuk eksklusif bagi memperkenalkan koleksi stroller dalam dunia gaya hidup sofistikated dan rekaan berketepatan tinggi.

Koleksi tersebut direka khususnya buat keluarga yang mengutamakan kualiti dan reka bentuk terbaik dalam kehidupan harian mereka.

Pengarah Komunikasi Korporat dan Kelestarian BMW Group Malaysia, Sashi Ambihaipahan berkata, pihaknya teruja untuk menggabungkan kepakarannya dalam menghasilkan produk-produk premium yang mampu memperkayakan kehidupan seharian pelanggannya yang mementingkan nilai, rekaan luar biasa dan kualiti tertinggi untuk diri mereka dan keluarga.

“BMW  bekerjasama dengan Nuna dalam menghasilkan barangan yang bukan sahaja berfungsi secara efisien, tetapi juga memberi impak positif terhadap kehidupan pelanggan serta anak-anak mereka dari sudut bentuk dan fungsi,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran di Nuna, Austin Hodges berkata, kerjasama bersama BMW merupakan padanan semula jadi, didorong oleh minat bersama terhadap kualiti premium dan reka bentuk inovatif.

Setiap produk dalam koleksi ini mencerminkan komitmen kedua-dua jenama terhadap kecemerlangan dalam perincian, keselamatan, ketahanan, dan estetika mewah yang sinonim dengan Nuna dan BMW.

Koleksi Nuna x BMW ini menggabungkan reka bentuk eksklusif dengan ciri-ciri inovatif merangkumi tiga model stroller iaitu MIXX next, TRIV next dan TRVL lx.

Tambahnya, model ini masing-masing menampilkan elemen reka bentuk diinspirasikan oleh BMW termasuk roda dengan corak BMW, rim yang menyerupai tayar BMW serta aplikasi dan corak logo BMW yang elegan dan sofistikated.

Menurutnya, MIXX next tampil dengan warna Element iaitu hitam karbon dramatik yang menampilkan aksen logo BMW premium, corak BMW Trinity pada fabrik dan rangka serta kemasan kulit mewah berwarna coklat.

“TRIV next pula datang dengan warna Graphene iaitu kelabu grafit sederhana yang dilengkapi aksen logo BMW premium, corak BMW Trinity pada fabrik dan rangka serta kemasan kulit mewah berwarna hitam.

“Sementara itu TRVL lx tampil dengan warna Mica iaitu beige neutral lembut dengan aksen logo BMW premium, corak BMW Crystal pada fabrik dan rangka serta kemasan kulit mewah berwarna coklat,” ujarnya.

Nuna berkata, setiap produk direka dengan teliti untuk menyatu secara harmoni dalam gaya hidup keluarga moden, memberikan kemudahan harian dan detik kegembiraan yang berterusan.

Jelasnya, harga stroller bermula dari RM2,699 dan koleksi Nuna x BMW kini boleh didapati di peruncit terpilih, bilik pameran Nuna Malaysia di Subang Jaya dan juga akan tersedia di pengedar BMW terpilih. – UTUSAN