SRG tekad genggam gelaran

Sukan

PASUKAN Selangor Red Giants (SRG) memasang impian menjuarai Kejohanan Dunia M6 Mobile Legend Bang-Bang (MLBB) sekali gus memegang status The Golden Road MLBB sebagai pasukan e-Sukan pertama di dunia melengkapkan empat gelaran utama musim ini.

Pasukan SRG tampil dengan kejayaan luar biasa musim ini apabila memenangi tiga gelaran utama iaitu Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang (MPL) Malaysia musim ke-14, kejohanan Mid Season Cup (MSC) di Riyadh, Arab Saudi dan Kejohanan Dunia IESF 2024.

Pengurus Pasukan SRG, Amir Syafiq Abd. Rashid berkata, biarpun mereka menjuarai tiga gelaran musim ini, namun ia bukan satu tiket buat pasukannya mengambil mudah mengenai cabaran di M6.

“Kejohanan M6 semakin mencabar, terutamanya dengan format baharu yang diperkenalkan tahun ini. Sudah pasti, akan mengubah strategi kami ketika turun beraksi esok,” katanya ketika dihubungi semalam.

Amir menjelaskan bahawa kejohanan M6 yang bakal diadakan di Malaysia itu adalah peluang terbaik bagi SRG untuk melengkapkan gelaran The Golden Road, satu pencapaian yang masih belum dicapai oleh mana-mana pasukan e-Sukan di seluruh dunia.

“Sejak kembali dari Riyadh, kami telah membuat persiapan yang rapi. Namun, kami sentiasa menegaskan kepada pemain agar tidak terlalu yakin dan selesa dengan kejayaan baru-baru ini.

“Walaupun kami telah menjuarai tiga kejohanan besar musim ini, M6 tetap menjadi cabaran besar dan kami perlu berhati-hati dengan pasukan lawan.

“Setiap pasukan yang berjaya melangkah ke M6 pasti adalah pasukan yang hebat dan kami tidak boleh memandang rendah terhadap mereka. Kami akan memberikan yang terbaik, sentiasa berwaspada dengan strategi lawan, dan fokus pada matlamat utama,” katanya.

Kejohanan Dunia M6 2024 bakal berlangsung di ibu negara dari 28 November hingga 15 Disember 2024 ini akan menawarkan hadiah wang tunai terkumpul sebanyak AS$1 juta.