Teknologi NoFlood minimum impak jalan terputus akibat banjir

Teknologi

BESUT – Kementerian Kerja Raya (KKR) memperkenalkan teknologi tebatan banjir yang dikenali sebagai NoFloods bagi meminimumkan impak jalan terputus akibat banjir di negara ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, teknologi yang merupakan inisiatif mitigasi KKR dengan kerjasama syarikat konsesi itu sedang diuji di Seksyen 6.3, Jalan Seberang Jerteh di sini yang terletak dengan sempadan Kelantan.

“Produk yang menggunakan teknologi Internet of Things (IoT) sepanjang 300 meter ini telah dipasang mulai 1 Oktober lalu bagi proses ujian selama tempoh enam bulan selaras dengan musim tengkujuh.

“Sehingga kini, teknologi NoFloods ini dilihat berjaya menghalang air daripada merentasi jalan yang boleh menyebabkan banjir dan berpotensi memutuskan perhubungan jajaran laluan terlibat,” katanya selepas menilai lokasi selenggara NoFloods di Jalan Seberang Jerteh di sini hari ini.

Alexander berkata, berdasarkan ujian dilaksanakan, teknologi NoFloods dapat menangani ketinggian paras air sehingga 0.9 meter dari aras tanah selain mampu menampung maksikum 1.2 meter ketinggian aras banjir serta melindungi dan mengurangkan risiko struktur jalan raya cepat rosak akibat banjir. – KOSMO! ONLINE