PUTRAJAYA: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bersedia memberi sumbangan khas berjumlah RM5 juta kepada mangsa banjir di negeri-negeri terjejas.
Perkara tersebut disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar susulan bencana itu yang disifatkan kali ini lebih teruk.
“Insya-Allah, saya sudah pun memaklumkan kepada Pemangku Ketua Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd. Nizam Yahya untuk menguruskan pengagihan,” katanya kepada pemberita selepas Karnival Year End Zakat x Pasar Saloma anjuran Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP) di sini malam ini.
Dalam pada itu, beliau menyeru umat Islam untuk segera menunaikan zakat bagi membolehkan bantuan berterusan disalurkan kepada golongan memerlukan, terutama mereka yang terkesan banjir.
Beliau berkata pembayaran zakat lebih awal membolehkan lembaga-lembaga zakat seperti PPZ-MAIWP merancang penyaluran bantuan bagi menghadapi musibah yang tidak dijangka.
Terdahulu, Pada majlis tersebut, beliau turut menyaksikan penerimaan zakat perniagaan berjumlah RM4.7 juta disumbangkan oleh enam koperasi dan syarikat sekitar Wilayah Persekutuan yang diserahkan kepada Pengerusi MAIWP yang kemudian menyerahkan pula sumbangan wakalah berjumlah RM150,954.
Penerimanya meliputi 100 keluarga asnaf di Putrajaya menerusi Bakul Rezeki dan sumbangan kewangan kepada 100 kakitangan B40 dari Perbadanan Putrajaya.
Tidak ketinggalan ialah sumbangan kewangan kepada 100 pekerja pembersihan Alam Flora dan sumbangan pakej tuisyen daripada MC+ kepada 100 orang pelajar asnaf. – UTUSAN