PETALING JAYA: Gabungan eHailing Malaysia (GEM) menyatakan sokongan kebimbangan pelbagai pihak mengenai kenaikan mendadak kadar premium insurans kesihatan yang menekan rakyat, khususnya komuniti pekerja gig.
Ketua aktivisnya, Jose Rizal berkata, kadar premium insurans tambahan untuk pemandu e-hailing meningkat lebih 40 peratus setiap tahun tanpa justifikasi jelas, membebankan pemandu dan mengancam daya saing industri.
Menurutnya, dalam sesi libat urus bersama Bank Negara Malaysia (BNM), dimaklumkan kenaikan disebabkan liberalisasi industri insurans yang membenarkan syarikat insurans menetapkan kadar secara bebas.
“GEM menganggap alasan itu tidak wajar untuk membiarkan situasi ini berterusan.
“Jika BNM sendiri mengakui tidak mampu mengawal situasi ini, siapakah yang harus dipertanggungjawabkan? Adakah rakyat atau pekerja sektor gig itu sendiri,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kebergantungan terhadap sistem penjagaan kesihatan awam yang kini terbeban bakal bertambah sekiranya caj premium insurans terus meningkat.
Mengulas lanjut, Jose berkata, pihak berwajib menilai semula dasar liberalisasi insurans yang memberikan kebebasan terlalu luas kepada syarikat insurans dalam menetapkan kadar premium.
Katanya, mekanisme kawalan harga atau had kenaikan tahunan perlu munasabah bagi melindungi rakyat, terutama pekerja sektor gig yang terjejas.
“Kami gesa agar diwujudkan konsultasi awam yang lebih inklusif sebelum sebarang keputusan mengenai kenaikan kadar insurans dilaksanakan.
“Isu ini memerlukan perhatian segera demi memastikan kebajikan rakyat dan keadilan dalam sistem insurans negara,” ujarnya – UTUSAN