PN tidak terima draf kedua

Politik

SHAH ALAM: Kerajaan Perpaduan sekali lagi digesa untuk memberi peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang tanpa mengenakan syarat seperti yang tertera di dalam Memorandum Persefahaman (MoU).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya kekal menolak MoU penyaluran peruntukan itu.

Kata beliau, tiada MoU yang dikenakan kepada Pakatan Harapan (PH) sewaktu dirinya menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Saya Pengerusi PN, Ketua Pembangkang (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) di (sebelah saya), ada ke draf (MoU) kedua? Itu andaian (kerana) draf pertama kita sudah tolak, tiada pula saya dengar dia (kerajaan) hendak hantar draf kedua.

“Dulu zaman saya tiada MoU pun, ala RM300,000 (tiada) benda. Bagi saja kalau niat itu baik, ia bukan untuk wakil rakyat tetapi rakyat di kawasan itu. Mengapa tidak boleh tolong? Kata banyak duit berbillion-billion,” katanya semasa sidang akhbar di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan sama ada PN akan menerima MoU penyaluran peruntukan sekiranya kerajaan mengemukakan draf kedua.

Pada 18 September lalu, Hamzah mengesahkan bahawa PN membuat ketetapan sebulat suara menolak dua draf cadangan MoU daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada ahli parlimennya.

Setakat ini, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dijangka akan menerima peruntukan selaku ahli parlimen pembangkang selepas beliau memberi maklum balas MoU tersebut.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, PH sebelum ini tidak perlu mengadakan pertemuan dengannya untuk memohon peruntukan.

Katanya, beliau sendiri yang menyalurkan peruntukan kepada pembangkang ketika itu.

“Tidak boleh ke mereka ikut contoh baik PN?” soalnya. – UTUSAN